Pengawal Keselamatan Sekolah Kebangsaan Raja Muda Seksyen 4, Shah Alam, Wan Rizman Wan Rusli 36, menampal notis penutupan sekolah petang tadi. - Foto MOHD ASRI SAIFUDDIN MAMAT
Oleh Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA) yang dijadualkan berlangsung esok ditangguhkan berikutan jerebu.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Othman Mustapha berkata, bagi UPKK ia membabitkan seramai 207,343 calon yang diselaraskan oleh jabatan itu di seluruh negara.

"Untuk subjek Ulum Syariah yang dijadualkan pada Isnin (esok)jam 2.30 petang serta Sirah, Jawi Dan Khat yang dijadualkan pada Selasa adalah ditangguhkan.

"Bagaimanapun pelaksanaan peperiksaan pada hari Rabu dan Khamis berjalan mengikut jadual," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tarikh baru bagi pelaksanaan peperiksaan tiga subjek lagi akan dimaklumkan kemudian berdasarkan kepada suasana dan laporan Indeks Pencemaran Udara (IPU) semasa.

Pada masa sama, Othman berkata, peperiksaan UPSRA di semua sekolah kelolaan JAWI iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuanakan ditunda kepada 12 hingga 13 Oktober depan.

"Bagi jadual Rabu dan Khamis berjalan seperti yang dijadualkan kecuali ada arahan lain daripada Kementerian Pendidikan," katanya.1

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2015 @ 4:12 PM