AKSI Ramli Sarip.
NUBHAN mengajak peminat bersamanya di atas pentas.
SADA Borneo.
PEMINAT yang hadir menyaksikan konsert ini.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Meriah dan menghiburkan. Begitulah suasana konsert sempena Hari Koperasi Negara (HKN) 2015 siri ke-14 yang berlangsung di Tebingan Sungai, Kuching, Sarawak baru-baru ini.

Konsert yang berlangsung selama dua malam berturut-turut itu berjaya mengumpul lebih 100,000 peminat. Ia juga menjadi antara program HKN2015 terbaik pernah diadakan dari segi keseluruhan pengisian program sepanjang ia berlangsung.

Pujian perlu diberikan kepada penganjur kerana berjaya mengawal peminat yang hadir menyaksikan konsert itu. Seawal jam tujuh malam, mereka sudah hadir memenuhi Tebingan Sungai untuk menyaksikan persembahan artis.

Biarpun keadaan cuaca tidak menentu pada malam pertama, peminat tidak berganjak dari tempat masing-masing. Mereka tetap setia demi menyaksikan barisan penyanyi seperti Dayang Nurfaizah, Nubhan, Nana Sheme, Mark Adam dan Sada Borneo.

Dayang yang mendendangkan lima lagu, Dayang Sayang Kamu, Tak Pernah Menyerah, Happy dan Di Pintu Syurga pada konsert itu melahirkan rasa teruja terhadap konsert sempena Hari Koperasi Negara di bumi kelahirannya.

“Saya sangat teruja kerana dapat turut serta. Sudah lama tidak dapat membuat persembahan secara terbuka dan bertemu peminat seperti ini. Apabila dapat bertemu peminat sebegini lebih-lebih lagi orang kampung, saya rasa amat gembira,” katanya.

Kemunculan dua lagi artis kelahiran Bumi Kenyalang, Nana Sheme dan kumpulan Sada Borneo terus menggamatkan suasana konsert yang semakin hangat.

Nana Sheme hadir dengan lagu Price Tag, Situasi, Rude dan Hantu atau Buaya, manakala Sada Borneo yang dipilih sebagai peserta peringkat separuh akhir di Asia Got Talent menghiburkan penonton dengan beberapa alunan muzik menggunakan peralatan tradisional serta moden.

Penyanyi Nubhan yang bukan dari Sarawak juga mencabar diri dengan cuba berbahasa tempatan. Keberaniannya memukau penonton terutama peminat wanita.

Mendendangkan lagu Oh Juita, Mewangi, Dealova dan Ada Untukmu, Nubhan turut mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) kerana berjaya mengadakan konsert pada malam itu.

Mark Adam menjadi artis penutup konsert yang diacarakan penyampai radio Era Sarawak, Osha dan Afick bersama Jeo Aziz dan Black ini. Penyanyi berbadan kecil kelahiran Filipina itu menyampaikan tiga lagu popularnya, Pencuri, Si Katak dan Marry Me.

Persembahan pada malam kedua sekali lagi mendapat sambutan. Menampilkan dua pelawak, Abon dan Ebby Yus, penonton semakin teruja melihat persembahan artis seterusnya.

Kumpulan Sayu Ateng menerusi lagu Jampi Semah Penyuk, Pak Mael, Falsafah Sang Katak (Cong Sesembat) semakin menggegarkan suasana sebelum kemunculan persembahan pemenang pertandingan buskers bersama Iwan Haji Dasri.

Kemeriahan semakin terasa apabila raja pop negara, Datuk Jamal Abdillah mengambil tempat.

“Saya ucapkan syabas kepada SKM dengan penganjuran pertama HKN di luar Semenanjung. Sudah banyak kali saya mengikuti persembahan di HKN. Saya teruja dengan sambutan yang diberikan peminat di sini. Mereka masih mempunyai keghairahan bertemu artis dan tidak malu menunjukkan penghargaan serta minat mereka kepada kita.

“Sambutan dan penghargaan ditonjolkan cukup berbeza,” kata Jamal yang menyanyikan lagu Aku Penghibur, Perjalananku, Kau Lupa Janji dan Gadis Melayu.

Datuk Ramli Sarip pula tampil dengan lagu Bukan Kerana Nama, Kau Yang Satu, Nyanyian Serambi, Teratai, Kamelia dan Doa Buat Kekasih, tidak membiarkan penonton berlalu pergi.

Penonton cukup asyik dengan persembahan mantap Ramli dan paling menarik petikan gitar Ramli membawa mereka untuk menyanyi bersama sebelum persembahan berakhir.

Bukan hanya menampilkan Konsert Gegar, HKN 2015 yang menjadi antara yang terbaik sepanjang pe­nganjurannya turut menampilkan aktiviti seperti Anugerah Tokoh Koperasi, Ekspo dan jualan produk koperasi Malaysia, pertandingan mewarna, program ‘Sarawak pun ada Talent’, karaoke, pertandingan mencari bakat pengacara, dan ceramah perdana oleh Datuk Ustaz Mohd Kazim Elias.

Ia juga berjaya mencapai matlamat penganjurannya untuk menjadi medium terbaik bagi merapatkan hubungan sesama ahli koperasi seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2015 @ 5:00 AM