Syarikat PKS tempatan perlu menggunakan platform e-commerce untuk meluaskan pasaran berpotensi di luar negara.
Syarikat PKS tempatan perlu menggunakan platform e-commerce untuk meluaskan pasaran berpotensi di luar negara.
Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menggesa syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan lebih agresif dalam mempromosikan produk dan perkhidmatan masing-masing melalui platform perdagangan elektronik (e-dagang) bagi meluaskan lagi pasaran ke luar negara.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Susila Devi berkata, e-commerce satu platform memudahkan lagi perluasan eksport dan PKS perlu memanfaatkan kemudahan itu yang kini banyak ditawarkan di pasaran.

“Pembelian secara e-dagang perlu pada masa kini bagi melancarkan urusan perniagaan rentas sempadan memandangkan ia boleh dilakukan dalam masa sebenar dengan syarat PKS perlu bersedia melayani sebarang pertanyaan daripada pelanggan sepanjang masa,” katanya pada Bisnes Metro ketika menghadiri Ekspo China-Asean (CAEXPO 2015) di China, baru-baru ini.

Beliau berkata, kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif berkaitan e-dagang termasuk eTrade iaitu kerjasama antara Matrade dan Perbadanan Pembangunan Multimedia Malaysia (MDeC) di bawah program Digital Malaysia untuk menggalakkan lagi penggunaan platform e-dagang dalam kalangan PKS.

Menurutnya, Matrade turut menawarkan bantuan baucar bernilai RM2,500 bagi membantu PKS mengurangkan beban yuran untuk melanggan plaftorm e-dagang seperti Alibaba.com apabila sehingga kini, 159 syarikat disenaraikan dalam platform itu.

“Saya ingin mengingatkan PKS tempatan memahami konsep eTrade yang ia transaksi perniagaan ke perniagaan (B2B) dan bukan sekadar peniagaan ke pelanggan (B2C) selain bersifat jangka panjang.

“Pada masa sama, PKS tempatan diseru meningkatkan kualiti pembungkusan produk, pemasaran dan promosi jenama memandangkan keadaan ekonomi tidak stabil pada masa ini apabila mereka bersaing sesama sendiri untuk menarik pengguna mencari produk alternatif pada harga dan kualiti berpatutan,” katanya.

Ketika mengulas mengenai pemohonan baucar eTrade, Susila berkata, 417 permohonan diterima sejak ia dilancarkan pada Oktober lalu dengan 328 pemohonan syarikat diluluskan manakala 159 syarikat menebus baucar terbabit di bawah platform Alibaba.com.

Baucar eTrade berfungsi sebagai yuran langganan awal kepada PKS yang menyertai platform atas talian untuk pasaran atas talian apabila sehingga kini Matrade mengeluarkan baucar bernilai RM1,000 hingga RM2,500 bagi membantu meringankan kos terbabit untuk PKS.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2015 @ 5:40 AM