ANDREA (kiri) menenangkan Eugene yang menangis.
ANDREA (kiri) menenangkan Eugene yang menangis.

Beijing: Eugenie Bouchard terpaksa menarik diri manakala Jo-Wilfried Tsonga berdepan kekalahan terburuknya tahun ini pada pusingan pertama kejohana tenis Terbuka China, semalam.

Bouchard tidak bermain sejak dia pengsan selepas terjatuh di dalam bilik persalinan Terbuka AS dan hanya mampu bertahan selama 10 perlawanan ketika menentang Andrea Petkovic dan terpaksa menjalani pemeriksaan tekanan darah.

Bintang Kanada itu dilihat menangis dan terpaksa ditenteramkan Andrea sebelum dia bangun dan meninggalkan gelanggang sambil melambai ke arah penonton. Ketika itu, papan markah menunjukkan angka 6-2, 1-1.

Terdahulu, Tsonga enggan menyalahkan masalah pencemaran udara di Beijing sebagai punca yang menyebabkan kepalanya pening dan tersingkir dari pertandingan selepas tewas 7-6 (7/4), 6-2 kepada lawan tidak ternama dari Austria Andreas Haider-Maurer.

Tsonga tewas di set kedua apabila dia kelihatan termengah-mengah hingga terpaksa meminta penangguhan seketika dan pakar perubatan menjalankan ujian degupan jantung ke atasnya secara serta merta.

Tidak lama kemudian, Tsonga terpaksa mengalah kepada Haider-Maurer yang menduduki tangga ke-64 dunia sekali gus menjadi pemain di ranking paling rendah yang menewaskannya tahun ini.

Indeks pencemaran udara di Beijing berada pada tahap ‘sangat tidak sihat’ semalam tetapi pilihan kelapan, Tsonga berkata dia tidak tahu apa yang menyumbang kepada masalah kesukaran bernafas yang dialaminya.

“Saya tidak tahu. Tidak ada satu peralatan semula jadi yang boleh mengukur berapa banyak oksigen yang ada dalam tubuh saya. Saya hanya terus bermain. Hari ini, saya bermain menentang lawan yang beraksi lebih baik berbanding saya,” katanya. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2015 @ 6:31 AM