Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) komited melahirkan lebih ramai pemain hoki pelapis berkualiti bagi memastikan negara tidak ketandusan pemain berwibawa untuk meneruskan kecemerlangan di peringkat antarabangsa pada masa akan datang.

Presiden MHC Datuk Seri Subahan Kamal berkata, pihaknya mengarahkan semua persatuan hoki negeri menganjurkan liga hoki membabitkan penyertaan pemain peringkat akar umbi bermula tahun depan.

Katanya, pihaknya akan menyalurkan peruntukan kewangan khas kepada persatuan hoki negeri bagi menjayakan program berkenaan.

“MHC menerusi jawatankuasa pembangunan dipengerusikan Naib Presiden Prof Dr S Shamala akan memastikan program ini berjalan lancar dan mampu memberi impak positif kepada usaha membangunkan sukan hoki negara.

“Kami (MHC) akan memantau penganjuran kejohanan itu dengan menghantar pegawai khas supaya kejohanan dianjurkan itu bukan sekadar pelengkap kalendar tahunan bagi persatuan hoki negeri tapi melahirkan pemain berbakat serta berwibawa,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah Kejohanan Liga Hoki Negeri Sembilan merebut Piala Menteri Besar di Stadium Hoki Seremban 2, malam kelmarin.

Subahan memuji beberapa negeri antaranya Negeri Sembilan, Johor dan Terengganu yang terus komited menganjurkan liga hoki peringkat akar umbi dalam melahirkan pemain pelapis berpotensi.

Menurutnya, pihaknya yakin menerusi langkah itu yang turut terkandung dalam Program Rangka Tindakan (Blue Print) bagi tempoh empat tahun yang dikeluarkan baru-baru ini, dapat memastikan negara tidak ketandusan pemain berbakat pada masa depan.

“MHC harap program ini mendapat kerjasama baik daripada kerajaan negeri dalam memastikan negara memiliki ramai pemain hoki berwibawa serta mampu menggalas tugas bagi menjulang nama negara di persada antarabangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2015 @ 6:48 AM