Harga topeng yang perlu dipatuhi peniaga.
Harga topeng yang perlu dipatuhi peniaga.
Oleh: Sofyan Rizal Ishak

Kajang: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memberi amaran kepada peniaga supaya tidak mengambil kesempatan menjual topeng muka pada harga tinggi dan tidak berpatutan semasa musim jerebu ini.

Menterinya Datuk Hamzah Zainudin berkata, perkara itu perlu diberi perhatian kerana barangan itu disenaraikan dalam barangan harga terkawal yang sudah ditetapkan kerajaan.

"Mereka perlu menjual topeng muka pada harga serendah RM0.20 sekeping bagi topeng muka satu lapis sehingga RM6.00 seunit bagi topeng muka jenis N95," katanya pada majlis pelancaran Kempen Penurunan Harga KK Mart 2015 di sini, hari ini.

Menurutnya, orang ramai digesa supaya melaporkan kepada KPDNKK jika terdapat peniaga menjual topeng muka melebihi daripada harga ditetapkan di mana mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) dan Akta Kawalan Bekalan 1961 berkuat kuasa 26 Ogos 2009.

"Individu yang melakukan kesalahan mengikut AKHAP 2011 boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 manakala bagi syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2015 @ 6:12 PM