TIMBALAN Gabenor BNM Datuk Muhammad Ibrahim (kiri) bersama Syed Moheeb di Sidang Kemuncak Insurans Malaysia 2015, semalam.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Pelarasan kadar premium Tarif Motor di bawah Rangka Kerja Perlindungan Motor Baharu akan dilaksanakan secara berperingkat untuk menangani isu struktur dalam sektor insurans motor.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Insurans Malaysia (MII) Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman berkata, rangka kerja itu bagaimanapun bergantung kepada garis panduan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menjadikan proses penyelesaian tuntutan dan pelaksanaan pelarasan premium menjadi lebih baik.

“Hasil daripada perbincangan dengan wakil peserta industri, pelarasan ini akan dilaksanakan secara berkala bagi memastikan kadar premium yang dilaraskan terus mencerminkan pengalaman tuntutan.

“Selain itu, rangka kerja terbabit juga diharap dapat memastikan langkah penambahbaikan terhadap industri insurans motor pada masa ini yang menjadi penyumbang utama kepada industri iaitu lebih 50 peratus,” katanya pada sidang media di Sidang Kemuncak Insurans Malaysia 2015 di sini, semalam.

Lebih 250 peserta industri dari dalam dan luar negara menyertai persidangan anjuran MII bagi membincangkan mengenai pertumbuhan, isu semasa dan masa depan industri.

Sementara itu, ditanya mengenai unjuran industri insurans di negara ini Syed Moheeb berkata, keadaan itu akan menyaksikan pertumbuhan dalam insurans perlindungan kenderaan dijangka mendatar tahun ini.

Katanya, ia adalah kesan daripada pengurangan pengeluaran dan jualan kenderaan serta aktiviti eksport yang kurang rancak sekali gus memberi kesan kepada pertumbuhan industri insurans am.

“Apabila berdepan zaman kemelesetan ekonomi, orang ramai akan kurang berbelanja dan ini memberi kesan kepada pasaran kenderaan.

“Berdasarkan kepada perbualan saya dengan mereka yang terbabit dalam industri ini, hampir tiada pertumbuhan dalam insurans perlindungan kenderaan tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2015 @ 5:59 AM