Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Ratu skuasy negara Datuk Nicol David kembali menghangatkan kancah skuasy dunia apabila turun beraksi di Kejohanan Terbuka Amerika Syarikat (AS) di Philadelphia yang bermula Sabtu ini.

Nicol baru saja pulih daripada kecederaan betis yang menyaksikannya terpaksa menarik diri daripada menyertai Terbuka Macau bulan lalu.

Bekas pemain nombor satu dunia itu berkata, dia tidak sabar untuk beraksi dan sangat teruja kembali ke Philadelphia bagi mempertahankan gelaran dimenanginya.

“Saya tidak sabar memulakan pertarungan pertama di Terbuka AS. Saya harap dapat melakarkan kejayaan sekali lagi biarpun mengetahui cabaran pastinya berbeza berbanding sebelum ini," katanya.

Turun selaku juara bertahan dan mengejar gelaran keempat berturut-turut, Nicol berkata, pertarungan di Terbuka AS itu bakal menjanjikan persaingan sengit dengan pemain nombor satu dunia Raneem El Welily.

Namun kekalahan mengejut Raneem di Kejohanan Terbuka Carol Weymuller Isnin lalu kepada rakan senegara Nour El Sherbini menimbulkan tanda tanya siapa bakal bergelar juara nanti.

Selain Nicol turut beraksi di kejohanan itu Delia Arnold sebagai pilihan ke-11 manakala Nafiizwan Adnan yang menjadi wakil tunggal negara beraksi acara lelaki bagaimanapun terpaksa beraksi di pusingan kelayakan terlebih dulu.

Seandainya Nicol berjaya menjuarai Terbuka AS sekali lagi, kemenangan itu masih belum boleh menjanjikan dia akan merampas kedudukan Raneem.

Sementara itu, Nour, 19, yang menghuni ranking ketujuh dunia menambah koleksi gelaran siri Jelajah PSA kelimanya apabila muncul juara di Terbuka Carol Weymuller selepas menewaskan bekas pemain keempat dunia dari New Zealand Joelle King 11-5, 11-6, 11-3 pada perlawanan akhir kelmarin.

“Saya sangat fokus dan amat inginkan kemenangan. Saya cuba lebih tenang dan menunggu masa tepat untuk membuat serangan dan itu yang membezakan kami,” katanya, pilihan ketujuh Terbuka AS.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2015 @ 7:24 AM