STADIUM Hoki USM, kampus induk Minden yang dinaik taraf prasarana dijangka siap Mac 2016.
Oleh Syed Ismail Syed Abu Bakar


Georgetown: Stadium Hoki Universiti Sains Malaysia (USM) di kampus induk USM, Minden, akan menerima nafas baru menerusi projek menaik taraf prasarana kemudahan sukan membabitkan kos RM2.4 juta yang dijangka siap pada Mac 2016.

Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM Mohamad Mohamed Haniff berkata, kerja menaik taraf stadium itu sudah bermula sejak akhir September lalu dan mampu menjadi gelanggang bagi sebarang pertandingan bukan saja di peringkat tempatan, malah bertaraf antarabangsa.

“Kami akan menggantikan karpet padang serta beberapa kemudahan lain yang memerlukan kerja membaik pulih untuk kegunaan latihan dan penganjuran pertandingan.

“Kami harap apabila kerja menaik taraf itu selesai, ia dapat dimanfaatkan semua pihak termasuk pelajar dalam pembangunan sukan berkenaan bagi program mencungkil bakat baru untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Mohamad berkata, stadium itu secara tidak langsung mengukuhkan kedudukan USM dalam usaha membangunkan bakat dan kapasiti latihan yang dapat dikongsi bersama pelbagai pihak lain.

“Kami sentiasa menyokong program pembangunan dalam pelbagai disiplin sukan hingga membuahkan hasil, sekali gus dapat mengharumkan nama USM di persada sukan tempatan dan peringkat antarabangsa.

“USM bukan saja terkenal sebagai sebuah institusi pengajian tinggi dalam bidang penyelidikan tapi pada masa sama mampu mengetengahkan atlet berbakat yang boleh mewakili negara,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata, lebih 30 pasukan dari 12 negara termasuk Sri Lanka, India, Brunei, Thailand, Taiwan dan Singapura sudah mengesahkan penyertaan masing-masing pada Pesta Hoki Antarabangsa USM edisi ke-42 di kampus induk USM, Minden, selama empat hari bermula 10 Disember.

Beliau berkata, penganjuran pesta hoki itu berupaya menjadi platform mencungkil bakat baru dan melahirkan lebih ramai atlet dalam kalangan mahasiswa atau pelajar sekolah.

“USM turut memikul tanggungjawab mencari dan menggilap bakat baru dalam sukan terbabit bagi memperkasa sukan hoki sebagai sukan tumpuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2015 @ 7:24 AM