Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Nasib Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) berhubung keengganan melepaskan tiga pemainnya untuk aksi persahabatan menentang kelab Liga Perdana Inggeris Liverpool, pada 19 Julai lalu mungkin diketahui esok.

Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dijangka bersidang dengan dengan antara agendanya membabitkan perkara berkenaan.

Penolong Setiausaha Agung FAM Abang Zulkarnain Abang Abdurahman mengesahkan mesyuarat Jawatankuasa Status itu namun tidak mengetahui agenda yang akan dibincangkan.

Bagaimanapun difahamkan FAM memanggil wakil FAS untuk menghadirinya bagi menyelesaikan kes berkenaan.

FAS sebelum ini enggan melepaskan Ahmad Hazwan Bakri, Muhammad Afiq Azmi dan Robert Cornthwaite dengan pengurusnya Amirudin Shari berkata perlawanan berkenaan tidak memberi sebarang makna kepada ranking skuad negara.

Tambah Amirudin, pihaknya menghantar beberapa pemain Selangor menentang Tottenham Hotspur dan mendapati tiada manfaat untuk pembangunan bola sepak Malaysia, jika prestasi skuad Harimau Malaya ketika kelayakan Piala Dunia, Piala Asia dan Sukan SEA, diambil kira.

Sebelum ini FAS sudah diminta untuk memberikan penjelasan bertulis kepada FAM berhubung perkara itu.

Sebagai rekod, pada 2008 Selangor pernah dikenakan tindakan pemotongan tiga mata dan didenda RM20,000 oleh FAM berikutan empat pemain mereka meninggalkan klinik bola sepak Ian Rush.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2015 @ 7:26 AM