Anyeonghaseyo!!! Tahun lalu, industri hiburan Korea Selatan dikejutkan dengan insiden 16 penonton terjatuh dalam lubang ventilasi sewaktu leka menyaksikan konsert. Kemalangan itu meninggalkan kesan besar sehingga seorang wakil penganjur membunuh diri kerana rasa bersalah.

Pada 3 Oktober lalu, kemalangan itu hampir berulang apabila 30 peminat dilaporkan pengsan ketika menyaksikan konsert kumpulan iKON di Stadium Jamsil. Mujur, paramedik pantas memberikan bantuan kepada mangsa.

Kemunculan artis baru YG Entertainment itu sememangnya dinanti peminat. Malang tidak berbau, 30 peminat terbabit tidak sempat menonton persembahan itu apabila pengsan kerana terlalu ramai yang hadir. Seorang daripada mereka dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Berikutan kejadian itu, orang ramai menyalahkan agensi kumpulan itu yang dikatakan mengeksploitasi media. Ia secara tidak langsung mencemarkan nama baik penganjur.

Minggu ini Ulzzang! ingin berkongsi kisah sebenar di sebalik penyingkiran bekas anggota Girls’ Generation (SNSD) iaitu Jessica.

Samchon menerusi Twitter mendedahkan Jessica memang berniat meninggalkan kumpulan itu. Bahkan anggota lain tahu perkara itu dan bersedia melepaskannya.

Jessica bagaimanapun tiba-tiba menukar fikiran dan mengambil keputusan untuk kekal bersama SNSD.

Pun begitu, segala-galanya sudah terlambat apabila anggota lain tidak bersetuju dengan keputusannya itu. Mereka menyediakan segmen khas untuk mengumumkan pengunduran Jessica dalam konsert di Jepun tahun lalu dan lagu berjudul Divine dihadiahkan kepada penyanyi itu sebagai tanda perpisahan.

Jessica yang memutuskan mahu berundur daripada SDSD, namun dia menggambarkan seolah-olah dirinya dipaksa keluar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2015 @ 8:18 AM