OOI mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Jawi. FOTO Danial Saad
Oleh Shamsul Munir Safini


Nibong Tebal: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Jawi di sini atas pertuduhan memintas emel dan memperdaya syarikat bagi memasukkan wang berjumlah RM693,763.32 ke dalam akaun milik syarikatnya pada 9 Oktober 2014.

Tertuduh, Ooi Lee Ming,43, dituduh di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan minta dibicarakan sejurus kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Rashidah Baharom.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Lee Ming dituduh menipu syarikat Michell Najjar EST S.A.L dari Lebanon dengan memperdaya syarikat berkenaan bahawa tertuduh adalah pembekal barang makanan daripada Turki.

Tertuduh didakwa membuat pintasan melalui akaun emel syarikat berkenaan sebelum mendorong syarikat itu memindahkan wang ke dalam akaun bank tertuduh.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nor Sakinah Ibrahim meminta mahkamah menetapkan ikat jamin RM10,000 ke atas tertuduh.

Peguambela,Venodjit Singh meminta mahkamah mengurangkan ikat jamin dan mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM4,000 serta seorang penjamin.

Rashidah menetapkan 4 November ini sebagai tarikh serahan dokumen kes berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2015 @ 2:37 PM