KAPAL minyak mentah diimport dari Asia Barat mampu membawa 700,000 hingga 800,000 tong.
KAPAL minyak mentah diimport dari Asia Barat mampu membawa 700,000 hingga 800,000 tong.
LOJI Penapisan Melaka terbahagi kepada PSR-1 dan PSR-1.
LOJI Penapisan Melaka terbahagi kepada PSR-1 dan PSR-1.
SEBANYAK 75 peratus kawasan loji penapisan dipenuhi dengan ladang tangki.
SEBANYAK 75 peratus kawasan loji penapisan dipenuhi dengan ladang tangki.
TERMINAL memproses gas cecair asli terapung di kawasan loji penapisan itu.
TERMINAL memproses gas cecair asli terapung di kawasan loji penapisan itu.
Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman


Di Malaysia, kita mudah membeli bahan api terutama petrol dan diesel. Pergi sahaja ke stesen minyak, bayar dan pam ke dalam tangki kenderaan.

Namun, tahukah anda bagaimana minyak itu diproses sehingga menjadi petrol atau diesel yang sudah siap untuk digunakan?

Lawatan ke Loji Penapis­an Melaka di Sungai Udang milik Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) minggu lalu mendedahkan penulis mengenai proses itu.

Pegawai Eksekutif Penggabungan Produk, Jabatan Perancangan Pengeluaran PETRONAS Penapisan (Melaka) Sdn Bhd (PPMSB) Rosli Kassim berkata, proses itu bermula dengan penggalian minyak mentah atau gas dari perut bumi.

“Bagaimanapun, minyak mentah dan gas dari perut bumi mengandungi bendasing yang membahayakan manusia. Justeru, bendasing itu perlu dibuang terlebih dahulu di loji penapisan,” katanya.

‘Emas hitam’ berkenaan dibawa dari tempat penggalian ke loji penapisan melalui saluran paip dari pelantar di tengah laut atau menggunakan kapal tangki.

Bagaimanapun, gas berkenaan yang dikenali sebagai gas cecair asli (LNG) diproses terus di pelantar sebelum disalurkan ke daratan melalui saluran khas.

Beliau berkata, minyak mentah berkenaan biasanya mengandungi cecair minyak dan beberapa bahan lain seperti air, garam, mineral dan sulfur.

“Minyak mentah itu kemudian dialirkan ke dalam relau sebelum disalurkan ke menara penyulingan bagi mengasingkannya dengan bendasing berkenaan,” katanya.

Bagi menghasilkan petrol, proses adunan mengikut nisbah dilakukan menggunakan bahan yang dihasilkan daripada proses penyulingan bagi mengeluarkan produk akhir yang dikehendaki sama ada minyak jenis RON95 atau RON97.

Proses penghasilan minyak dan gas itu dijelaskan kepada rombongan media yang dibawa melawat loji penapisan di Melaka iaitu yang terbesar di Malaysia.

Lawatan anjuran PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) dan PPMSB itu turut memberi maklumat mengenai proses menghasilkan petrol terbaru PETRONAS yang dikenali sebagai Primax 97.

Formulasi terbaru Primax 97 mula diperkenalkan pada September lalu dengan tambahan formula Euro 4M yang lebih baik daripada petrol RON97 Euro 2M yang diperkenalkan pada 2009.

Euro 4M lebih baik dari segi spesifikasinya kerana kandungan sulfur, benzena dan Reid Vapour Pressure (RVP) lebih rendah berbanding Euro 2M.

Rombongan media turut dibawa melawat di dalam loji penapisan itu bagi menyaksikan sendiri proses berkenaan.

Loji Penapisan Melaka di Sungai Udang berkeluasan 375 hektar atau bersamaan dengan 526 padang bola dibahagikan kepada dua sektor iaitu PSR-1 dan PSR-2.

Setiap hari, PSR-1 mampu memproses 128,000 tong minyak mentah yang kandungan sulfurnya kurang daripada 0.5 peratus. Kandungan sulfur rendah menyebabkan minyak mentah itu lebih mudah diproses.

PSR-2 pula boleh memproses 180,000 tong minyak mentah sehari kerana kandungan sulfurnya lebih tinggi.

Sebanyak 75 peratus daripada kawasan loji penapisan itu adalah tangki yang dilabelkan dengan nombor berbeza dari T71 hingga T75.

Tangki yang dilabel T71 adalah minyak mentah yang belum diproses manakala T72 hingga T74 adalah tangki perantaraan sebelum produk terhasil, manakala produk akhir bertanda T75.

Kawasan loji penapisan berkenaan juga memiliki jeti yang boleh memuatkan tujuh kapal tangki dalam satu-satu masa. Setiap kapal boleh membawa 240,000 tong minyak mentah, tetapi kapal yang membawa minyak mentah dari Asia Barat mampu membawa antara 700,000 hingga 800,000 tong.

Rosli juga berkata, Loji Penapisan Melaka tidak hanya mengeluarkan petrol, tapi beberapa produk lain seperti gas memasak, minyak kapal terbang A-1, diesel, minyak pelincir, sulfur, bitumen, arang kok dan naphtha iaitu bahan mentah untuk industri petrokimia.

“PPMSB peneraju pasaran di Malaysia dengan penguasaan 44 peratus berbanding jenama petrol lain dan 80 peratus bahan api negara dibekalkan dari loji penapisan ini,” katanya.

Beliau berkata, PPMSB juga bertanggungjawab memulihara loji penapisan dan kawasan sekitar bagi memastikan penduduk berhampiran tidak menerima kesan kesihatan daripada proses penapisan dijalankan.

Berikutan itu, katanya, pemantauan pelepasan gas kerap dilakukan bagi memastikan ia tidak mencemar udara dan membahayakan manusia.

PPMSB juga memantau kualiti air buangan dari loji berkenaan agar ia tidak mencemarkan air di kawasan berdekatan.

Pada masa sama, air laut juga dipantau bagi memastikan kualiti airnya tidak terjejas dan ekosistem di laut tidak tercemar sehingga memberi kesan negatif kepada hidupan laut dan manusia.

Sementara itu, Pakar Teknologi Bahan Api PETRONAS Primax 97 dengan Advanced Energy Formula Mohd Hafiz Abdul Aziz berkata, petrol RON97 yang baru dihasilkan ada banyak kelebihan kepada pengguna terutama dari segi pemanduan.

“Primax 97 dengan Advanced Energy Formula menampilkan tiga kelebihan. Pertama, melindungi enjin kenderaan. Berbanding petrol lain, asap yang dikeluarkan dari kenderaan menggunakan Primax 97 sangat sedikit, sekali gus mengurangkan pencemaran udara.

“Kedua, pembakaran enjin yang bertambah baik dengan penggunaan Primax 97 dengan Advanced Energy Formula membolehkan kenderaan boleh dipandu lebih lancar,” katanya.

“Primax 97 dengan Advanced Energy Formula juga boleh meningkatkan daya pecutan kerana bahan yang digunakan mampu memelihara enjin daripada berkarat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2015 @ 5:29 AM