NICOL (kanan) dijangka tidak berdepan masalah pusingan pertama Terbuka AS.
 Oleh Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David akan memulakan saingan memburu kejuaraan Terbuka Amerika Syarikat keempat berturut-turut dengan menentang pemain kelayakan pada pusingan pertama esok.

Kejohanan yang berlangsung di Philadelphia itu menawarkan hadiah wang tunai AS$150,000 (RM634,251) bagi kedua-dua kategori lelaki dan wanita. Selain Nicol, pemain wanita negara Delia Arnold yang diletakkan pilihan ke-11 akan bertemu Nicolette Fernandes dari Guyana manakala Nabilla Ariffin menentang Joey Chan dari Hong Kong.

Nicol dilihat tidak berdepan masalah mara ke pusingan seterusnya, namun dijangka menerima tentangan seandainya mara ke suku akhir kerana menantinya pemain England Laura Massaro. Delia pula dijangka perlu berusaha lebih keras untuk menewaskan Nicolette yang pernah menduduki ranking ke-19 dunia pada pusingan pertama.

Laura yang melonjakkan ke ranking ketiga dunia dalam senarai terbaru di keluarkan awal bulan ini, pastinya mahu membalas dendam kekalahan di tangan Nicol pada 2013. 

Bagi Nabilla, Terbuka AS mampu menjadi penanda aras buat dirinya untuk mara lebih jauh biarpun terpaksa beraksi pada pusingan kelayakan. 

Sementara itu Terbuka AS tahun ini lebih mencabar dan mendebarkan berikutan kehadiran pemain nombor satu dunia dari Mesir Raneem El Welily dan rakan senegara Nour El Sherbini yang berada di kemuncak prestasi. 

Bagi aksi perseorangan lelaki, pemain nombor satu dunia dari Mesir Mohamed Elshorbagy berharap untuk mempertahankan gelaran juara selepas menjuarainya buat kali pertama tahun lalu.

Bekas pemain nombor satu dunia Ramy Ashour turut kembali ke Philadelphia selepas dua tahun berehat kerana dihantui kecederaan dan dianggap berada pada prestasi terbaik selepas merangkul kejuaraan Terbuka NetSuite di San Francisco awal minggu lalu. 

Keadaan itu pasti menyukarkan wakil tunggal negara, Nafiizwan Adnan yang terpaksa beraksi di pusingan kelayakan menentang Hamed Reda dari Mesir awal pagi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2015 @ 5:57 AM