ADISSADIKIN (dua dari kiri) dan Ibrahim (dua dari kanan) bertukar dokumen disaksikan Mohd Shafie (tiga dari kiri) dan Ibrahim (tiga dari kanan) pada majlis menandatangani memorandum persefahaman dan perjanjian antara MARA dan EXIM Bank.
ADISSADIKIN (dua dari kiri) dan Ibrahim (dua dari kanan) bertukar dokumen disaksikan Mohd Shafie (tiga dari kiri) dan Ibrahim (tiga dari kanan) pada majlis menandatangani memorandum persefahaman dan perjanjian antara MARA dan EXIM Bank.

Kuala Lumpur: Export-Import Bank of Malaysia Berhad (Exim Bank) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) menandatangani memorandum perjanjian yang memperuntukkan pinjaman berjumlah RM100 juta kepada usahawan tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata perjanjian itu dicapai bagi memberi peluang kepada 50 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan memperoleh pembiayaan dalam bentuk pinjaman antara RM300,000 hingga RM2 juta.

“Antara komponen yang menyulitkan usahawan tempatan menembusi pasaran global ialah dari segi kewangan, maka perjanjian ini memberi peluang kita menaja usahawan pelbagai bidang untuk menembusi pasaran luar,” katanya kepada pemberita, semalam.

Katanya permohonan untuk mendapatkan pinjaman ini sudah dibuka dan beliau berharap PKS tempatan mengambil peluang untuk mendapatkan pinjaman ini.

Beliau berkata, Exim Bank dipilih sebagai pembiaya kepada pinjaman ini berdasarkan pengalaman bank itu dalam membantu usahawan menjalankan perniagaan ke pasaran antarabangsa terutama dari segi import dan eksport.

Memorandum perjanjian dan memorandum persefahaman itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Exim Bank Datuk Adissadikin Ali, dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad sambil disaksikan Mohd Shafie serta Ketua Setiausaha KKLW Datuk Seri Ibrahim Muhammad.

Sementara Adissadikin berkata, Exim Bank secara konsisten akan membantu usahawan tempatan meneroka perniagaan di luar negara melalui perkhidmatan pembiayaan dan khidmat nasihat.

“Usaha sama dengan MARA ini menyaksikan satu lagi inisiatif penting bagi meningkatkan kompetensi usahawan kecil dan sederhana tempatan,” katanya. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 November 2014 @ 5:04 AM