X
Oleh Sarah Zulkifli


Kuala Lumpur : Seorang pengurus jualan hotel berusia 32 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, tadi atas tuduhan mengugut untuk memotong kemaluan suami rakannya melalui SMS, bulan lalu.

Tertuduh, How Huat Kim,bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap rakannya yang juga seorang pengurus jualan di hotel lain, melalui SMS bahawa tertuduh akan menyebabkan kecederaan parah dan mahukan darah serta mahu memotong kemaluan suaminya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah hotel di Jalan Walter Granier, Dang Wangi di sini, kira-kira jan 6.30 petang, pada 29 September lalu.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan melarang tertuduh daripada mengganggu mangsa dan suaminya sehingga kes selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2015 @ 5:16 PM