AHMAD (dua dari kiri) bersama Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada Majlis Perasmian STL Malaysia 2015.
AHMAD (dua dari kiri) bersama Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada Majlis Perasmian STL Malaysia 2015.
Oleh Azlan Muhammad Zain


Petaling Jaya: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) mempertahankan tindakan mereka mencadangkan acara ‘pelik’ kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk dipertandingkan pada Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur.

Presiden PSM Datuk Ahmad Ismail semalam mengesahkan mereka akan meneruskan cadangan acara tradisi Myanmar, chinlone dan empat sebelah untuk dipertandingkan pada temasya dwitahunan berkenaan.

“Kami akan teruskan (cadangan mempertandingkan dua acara berkenaan) namun acara sebenar (yang diluluskan) hanya diputuskan tahun depan.

“Bagaimanapun untuk empat sebelah, kami akan memulakan persiapan Mac tahun depan. Kami sedang berusaha agar acara itu dipertandingkan dan saya yakin ia tidak akan menimbulkan masalah.

“Malah demonstrasi acara berkenaan sudah diadakan pada Piala Emas Khir Johari di Johor dan Siri Super Istaf di Melaka pada Februari lalu,” jelasnya.

Perkembangan berkenaan menimbulkan persoalan bagaimana PSM mahu mendominasi acara berkenaan kerana Malaysia meletakkan sasaran muncul juara keseluruhan pada edisi ke-29 itu.

Selain dua acara berkenaan, PSM turut bercadang mempertandingkan acara regu dan beregu dengan setiap persatuan sukan kebangsaan diberi masa sehingga bulan depan oleh Majlis Olimpik Malaysia untuk membentangkan perancangan mereka menghadapi Sukan SEA 2017.

Hakikatnya hanya selepas 10 tahun baru Malaysia berjaya menamatkan kemarau pingat emas menerusi acara regu di Sukan SEA Singapura pertengahan tahun ini,

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2015 @ 5:11 AM