ANGGOTA penyelamat mengangkat mayat Kelvin yang lemas di Pantai Jaring, Pantai Puteri, Tanjung Kling. FOTO Hassan Omar
ANGGOTA penyelamat mengangkat mayat Kelvin yang lemas di Pantai Jaring, Pantai Puteri, Tanjung Kling. FOTO Hassan Omar
Oleh Hassan Omar

Melaka: Mayat penuntut Institut Latihan Perindustrian (ILP) Bukit Katil, yang juga OKU ditemui terapung 800 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang di Pantai Jaring, Pantai Puteri, Tanjung Kling, di sini, 12.15 tengah hari ini.

Terdahulu, dalam kejadian 9 pagi, Kelvin Ee Lik Yong, 20, dari Taman Malim Jaya, lemas ketika cuba menyelamatkan rakannya, Mohd Zarif Hamzah, 20.

Mangsa yang melihat Mohd Zarif, dalam keadaan terkapai-kapai dan hampir lemas cuba menyelamatkan rakannya itu namun gagal sebelum dia dipercayai tenggelam ke dasar laut.

Mohd Zarif, kemudian diselamatkan nelayan Abu Samah Zainol, 48, yang bergegas membantu selepas terdengar jeritan tiga lagi rakan mereka ketika itu berada di tepi pantai.

Abu Samah berkata, secara kebetulan dia berada di tepi pantai dan terus mendayung perahunya untuk menyelamatkan Mohd Zarif.

"Kejadian berlaku ketika saya baru sahaja naik dari laut dan sudah menanggalkan enjin sangkut dari perahu, mahu atau tidak saya terpaksa mendayung untuk membantu menyelamatkan mangsa.

"Sebaik menghampiri lokasi mangsa saya terus menarik rambut pelajar itu (Mohd Zarif) namun tidak sempat menyelamatkan rakannya yang dipercayai sudah tenggelam ke dasar laut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2015 @ 3:59 PM