SAJIAN Barat untuk penggemar tersendiri.
DAGING salai masak lemak cili api untuk sajian tengah hari.
NASI lemak 99 sen.
HAIZA bersama Raja Rozida (kiri) menikmati sajian.
Oleh Aniza Zainudin


Hanya bermodalkan RM2, pelanggan La Beau Coffee & Dessert Bar dapat menikmati sebungkus nasi lemak dan secawan teh tarik untuk permulaan hari serta ketenangan Tasik Putrajaya sebagai penyejuk mata.

Nasi lemak berbungkus daun pisang dijual pada harga 99 sen bukanlah alasan untuk pemilik kafe, Raja Rozida Raja Aziz menghasilkan sajian ‘tidak lengkap’, sebaliknya nasi lemak ini dihidangkan bersama sambal, hirisan telur rebus dan juga mentimun.

Berperanan sebagai jurumasak utama, Raja Rozida yang menggalas tanggungjawab dalam penyediaan nasi lemak di La Beau Coffee & Dessert Bar berkata sajian terkenal masyarakat Malaysia ini dihasilkan segar setiap hari demi memenuhi permintaan pelanggan sekitar Putrajaya.

“Saya menyediakan nasi lemak 99 sen ini setiap hari di kafe dan ia sentiasa ada sepanjang hari, bukan saja ditawarkan pada waktu sarapan pagi. Bagi mereka yang ingin berjimat, kita turut menyajikan minuman pagi, teh tarik, pada harga yang sama.

“Selain itu, kita turut memberi alternatif kepada pelanggan dengan menyediakan rendang ayam. Ini kerana selera, cita rasa dan perbelanjaan setiap pelanggan adalah berbeza,” katanya ketika ditemui di Putrajaya.

Berkongsi rahsia nasi lemak 99 sen, Raja Rozida mengakui proses memasak sambal nasi lemak mengambil masa selama tiga jam bagi memastikan ia betul-betul masak dan tahan lama. Manakala nasi pula dimasak menggunakan santan kelapa segar.

Menurutnya, resipi penyediaan nasi lemak ini diperoleh daripada ibu seorang teman rapat yang sememangnya terkenal dengan sambal warisan Melayu.

Pernah tampil dengan konsep sepenuhnya sajian barat, La Beau Coffee & Dessert Bar kini turut menyediakan pakej sajian Malaysia termasuk daging salai masak lemak cili padi, ayam sambal, rendang ayam, sembilang salai masak lemak cili api dan mi kari.

Terbaru, La Beau Coffee & Dessert Bar memperkenalkan menu ikan patin masak tempoyak dan dijangka meraih perhatian penggemar sajian popular Pahang itu.

Haiza puji nasi lemak 99 sen lengkap

Meskipun bermastautin di Johor Bahru, pelantun lagu irama dangdut, Haiza, tidak melepaskan peluang untuk mencuba menu jimat ditawarkan La Beau Coffee & Dessert Bar apabila berkunjung ke Putrajaya.

Terkenal dengan lagu Dag Dig Dug... Mana Tahan, penyampai radio Best FM ini menyifatkan nasi lemak 99 sen sebagai sajian sarapan yang lengkap kerana ia masih mengekalkan kombinasi nasi lemak tradisional iaitu sambal, hirisan telur rebus dan mentimun.

“Sebagai penggemar nasi lemak, saya menyukai menu disediakan kafe ini kerana nasi bersantan dan sambal memiliki rasa masam manis dan pedas. Saya tertarik dengan konsep harga diperkenalkan kerana ia sangat sesuai dengan pelbagai peringkat masyarakat.

“Harganya sangat murah jika dibandingkan dengan lokasi kafe yang terletak di pusat pentadbiran negara.

“Selain itu, saya juga dapat melihat Tasik Putrajaya sambil menjamu selera,” katanya yang juga Finalis AIM 21 Kategori Hip Hop Terbaik, gandingan bersama Filsuf untuk lagu Kerana.

Berkongsi perkembangan dalam industri seni suara, Haiza bakal tampil dengan projek baru dan kini dalam proses pemilihan lagu.

Mengerti dengan perkembangan industri muzik, wanita ini mengakui irama dangdut perlu dikomersialkan dengan menyuntik elemen bersesuaian dengan pendengar baru.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2015 @ 5:01 AM