Oleh Norhayati Nordin


Meskipun sudah 12 tahun menceburi industri hiburan tanah air, sejak kebelakangan ini nama pelakon Nisha Dirr seakan-akan menyepi.

Mungkinkah Nisha, 31, merajuk seterusnya memberi sepenuh perhatian terhadap cabang karier lain diceburi seperti perniagaan?

Bertemu Nisha atau Nik Shahri’ah Nik Dir pada majlis sidang media Anugerah Skrin 2015 (ASK 2015) baru-baru ini, dia menyangkal dakwaan dia merajuk dan menyepi diri.

Katanya, dia tidak pernah merajuk apatah lagi bercadang mahu bersara daripada industri seni. Katanya, hingga kini dia masih aktif berlakon.

“Setakat ini rezeki dalam bidang lakonan masih ada cuma kebanyakan drama lakonan untuk RTM. Mungkin disebabkan lakonan saya jarang ditonton di stesen TV lain, ada yang beranggapan saya mungkin merajuk dan menyepi diri.

“Apapun, saya masih Nisha yang dulu dan tidak terlalu bersikap memilih watak. Saya selesa menerima peluang yang datang dulu dan watak juga sesuai,” katanya.

Muncul dengan drama Waris Kasih melalui slot Azalea di TV3, Nisha akui tawaran drama itu diperolehnya secara kebetulan. Katanya, mujur ketika mendapat tawaran itu jadualnya kosong.

“Mungkin rezeki saya kerana ketika itu tidak terikat dengan penggambaran drama. Saya juga berminat dengan jalan cerita yang diketengahkan drama ini. Ia sarat dengan emosi, elemen kasih sayang dan kekeluargaan,” katanya.

Nisha yang mengikat pertunangan dengan kekasihnya tahun lalu selepas tiga tahun menyulam cinta mengakui pertunangannya berakhir.

Katanya, manusia merancang Tuhan menentukan. Ternyata mereka tiada jodoh untuk hidup bersama dan menerimanya dengan hati terbuka.

“Kami putus tunang beberapa bulan lalu dan kini saya kembali solo. Apa punca hingga pertunangan putus, biarlah menjadi rahsia. Cuma apa yang boleh saya katakan, kini saya solo dan belum ada pengganti.

“Bukan mudah untuk saya menerima cinta baru. Bagi saya, biar masa menentukan dan jika ada jodoh satu hari nanti, pasti tidak ke mana.

“Saya juga tidak serik bercinta. Cuma sekarang saya selesa berhati-hati. Sejak putus tunang, memang saya ada berkawan tetapi untuk tahap bercinta mungkin belum lagi,” katanya.

Bijak menyembunyikan rahsia peribadinya, Nisha berkata, dia cuba tidak menguar-uarkan kisah putus tunang itu lebih awal kerana menjaga hati keluarga.

Katanya, sejak awal pembabitannya dalam industri seni hinggalah sekarang dia selesa dikenali peminat dengan bakat berbanding banyak bercerita kisah peribadi.

“Hubungan cinta saya dengan bekas tunang dulu pun tidak menjadi perhatian dan diketahui media apabila majlis peminangan hendak dilangsungkan.

“Kini selepas berbulan-bulan putus tunang, baru saya sedia membuka cerita. Itu pun saya tidak berniat apa-apa sekadar memberitahu perkara sebenar,” katanya.

Mengenai kriteria lelaki idamannya, Nisha berkata dia hanya wanita biasa yang mengharapkan diri disayangi dan dicintai seadanya.

Pelakon drama komedi Tok Ompek Simpang Ompek ini akui tiada manusia yang sempurna. Justeru, dia jenis yang bersikap sederhana.

Apa pun kata Nisha, jika ditakdirkan bertemu cinta baru dia mungkin tidak bertunang lama. Malah katanya, kalau ikutkan hatinya, tidak mahu bertunang lagi.

“Apabila sampai jodoh, lebih baik diteruskan saja dengan pernikahan. Tidak salah kalau terus bernikah saja kerana itulah perkara wajib. Bagaimanapun, bagi menghormati permintaan keluarga jika bertunang pun sekejap saja.

“Saya tidak mahu lagi mengikat pertunangan lama-lama yang mencecah tempoh setahun. Saya serik dan enggan mengulanginya lagi,” katanya yang sebelum ini bercinta dan bertunang dengan ahli perniagaan yang dikenalinya sejak empat tahun lalu.

Menyimpan impian mahu dikenali sebagai anak seni serba boleh, Nisha akui masih dalam proses belajar. Biarpun dia pelakon yang ada pengalaman, baginya proses belajar tidak pernah berhenti.

Nisha juga tidak kisah diberi watak baik mahu pun antagonis kerana baginya setiap karakter ada kekuatan dan memberi pengalaman berbeza.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2015 @ 5:02 AM