EKSTREM Azad apung tinggi.
CUBA membuat ‘flip’.
KESEIMBANGAN hampir sempurna oleh peserta dalam setiap rutin.
TINGGI lonjakan peserta.
Oleh Nurul Husna Mahmud


Berdetak bunyi papan bertembung dengan lantai menjadi ‘prop’ dalam Kejohanan PJ Best Run X Comp di Arena Skate Majlis Pebandaran Petaling Jaya (MBPJ) baru-baru ini.

Sekali-sekala terdengar dentingan sebaik roda bergesel besi menjadi penyokong kepada halangan di arena berkenaan secara tidak langsung memberi gambaran sukan ini bukan sebarangan.

Tidak kurang rasa gerun dirasai penonton di gelanggang sebaik babak pemain papan selaju berkali-kali jatuh, namun tidak pula antara mereka mengadu sakit. Reaksi mereka hanya bersantai meneruskan permainan.

Melihat mereka meluncur laju sambil mengimbangi diri apabila melonjak bersama papan untuk membuat ‘trick’ mengandaikan sukan ini memerlukan kecekalan tinggi dalam menguasai skil yang ada.

Acara berkenaan dianjurkan The G-Hard kolaborasi bersama Bahagian Khidmat Komuniti Pembangunan Modal Insan MBPJ mendapat penyertaan 28 peserta dalam acara terbuka berkenaan.

Rata-rata peserta menyertai acara terbabit berumur seawal 10 tahun hinggalah 21 tahun berentap dalam acara terbuka.

Menurut wakil penganjur, Johary Fitry Khairruddin atau Joe Ipoh, kejohanan ini bertujuan meningkatkan skil pemain papan selaju sedia ada.

“Bagi kejohanan Best Run ini mereka perlu tunjukkan kemampuan skil bukan sekadar di takuk biasa sebaliknya kemahiran pro dalam mengendalikan papan mereka.

“Ini tidak langsung mendorong pemain baru untuk bersaing serta menunjukkan prestasi terbaik mereka selain peserta lama mempertingkatkan dan menonjolkan skil baru.

“Selain itu dalam kejohanan ini, saya mengharapkan mereka mampu menunjukkan peningkatan memberangsangkan daripada prestasi sebelum ini selain kualiti bertaraf kejohanan antarabangsa,” katanya.

Bagi seorang pesera menyertai kejohanan berkenaan, Kamal Zarif Kamal Zaidi, 10, kejohanan ini mempunyai cabaran tersendiri.

Meskipun dia antara peserta termuda dalam kejohanan berkenaan dan lebih mesra dengan panggilan Kamal ‘kecik’ kalangan komuniti itu, dia tidak gentar bersaing.

“Biarpun saya antara paling muda dalam kelompok peserta bertanding tetapi mereka begitu menyokong dan melayan saya dengan baik.

“Mereka berkongsi tip dan petua. Kalau saya turun padang dalam kejohanan sebegini kami akan ambil masa terluang untuk berlatih bersama.

“Di situ saya dapat perbaiki kelemahan dan mereka boleh demonstrasi skil yang baru kepada saya secara langsung,” katanya.

Bagi peserta berasal dari Iran, Arab Azad Avar, 16, dia teruja dapat menyertai kejohanan berkenaan selain mengenali peserta lain.

“Ini satu komuniti baik dalam mendorong pemain sukan ini berkembang. Saya tidak begitu mengenali mereka tetapi mereka mudah mesra menyebabkan saya senang dapat bersaing dengan mereka.

“Ini pendedahan bagus cara orang sini bertanding dan ini satu pengalaman baru cukup bermakna buat saya,” katanya.

Sementara itu juri kejohanan, Adlan Farazi Mohd Ariff menyifatkan daripada melihat bakat pemain menyertai kejohanan terbabit, mereka mempunyai masa depan cerah.

“Selagi mereka ini tidak meniru gaya hidup pemain papan selaju berbakat di luar negara dan berusaha memperbaiki kemahiran diri, mereka mempunyai masa depan cerah dalam sukan berkenaan.

“Selain itu saya berharap usaha mereka ini mendapat perhatian pihak kerajaan dalam membantu pembangunan fasiliti dalam sukan ekstrem ini. Kita mempunyai hampir 30 skatepark tetapi hanya lima mencapai spesifikasi antarabangsa. Menggunakan pusat luncur yang tidak mematuhi standard hanya mendatangkan risiko kepada pemain,” katanya yang juga Presiden Kelab Skateboard.

Kejohanan itu dimenangi peserta dari Rawang, Amirul Hazim menerusi ‘run’ cukup sempurna tanpa sebarang jatuh. Mereka dinilai menerusi konsisten, kesukaran, stail, kelajuan serta kreativiti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2015 @ 5:02 AM