SHAHRIL tekad beraksi di pentas Sukan Olimpik.
Oleh Rodly Fadly
sukan@hmtero.com.my

Bermula sebagai ‘bidan terjun’, Muhammad Shahril Saabah, 21, tidak menduga itulah langkah awal kariernya sebagai pemain hoki sehingga berjaya menyarung jersi pasukan kebangsaan dan kini antara pemain muda negara yang sedang mencipta nama.

Menurut Shahril, segala-galanya bermula 11 tahun lalu ketika dia bersama rakan sebaya bermain bola sepak di kawasan rumah pangsa Sri Perak, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur.

“Cikgu Rizal Maslah, guru sekolah yang melihat saya bermain bola petang itu, tiba-tiba memanggil saya dan mempelawa menyertai pasukan hoki sekolah. Sudah tentu saya menolak kerana seumur hidup, tidak pernah memegang kayu hoki apatah lagi hendak bermain.

“Tapi, Cikgu Rizal terus memujuk dengan menyatakan saya ada bakat dan berjanji akan membimbing saya. Katanya, dia sangat memerlukan saya kerana pasukan hoki sekolah kami tidak cukup pemain untuk menyertai pertandingan.

“Memandangkan dia bersungguh-sungguh memujuk, saya berasa tak sampai hati untuk menghampakannya dan bersetuju untuk mencuba. Apatah lagi itulah peluang untuk saya mewakili sekolah.

“Esoknya, buat pertama kali saya turun menjalani latihan. Tapi, selepas pengalaman pertama itu, saya nekad untuk menarik diri kerana tidak tahan dengan latihan yang keras. Apatah lagi kerana tidak biasa bermain hoki, seluruh badan saya terutama di bahagian pinggang terasa sakit.

“Satu perkara lagi yang menyebabkan saya tawar hati untuk terus berlatih ialah sikap Cikgu Rizal yang terlalu tegas. Pantang kami buat silap, dia terus naik angin, kadang-kadang mengeluarkan kata-kata kesat dan mendenda kami dengan melakukan ketuk ketampi atau push up.

“Selama seminggu saya ponteng latihan dengan harapan Cikgu Rizal mengetepikan saya. Tapi, dia terus memujuk dan memberi kata-kata semangat sehingga akhirnya saya bersetuju. Walaupun menyampah dengan sikap Cikgu Rizal semasa latihan tapi saya pejamkan saja mata dan pekakkan telinga.

“Akhirnya, daripada pemain ‘bidan terjun’ saya dipilih menjadi pemain utama Sekolah Rendah Kebangsaan Sri Perak, Sentul ke pertandingan antara sekolah di daerah itu,” cerita Shahril.

Selepas itu, Sharil tidak menoleh ke belakang lagi, selangkah demi selangkah dia menapak membina kariernya. Daripada peringkat sekolah, dia mewakili daerah dan seterusnya menyarung jersi pasukan Bawah 12 Tahun Kuala Lumpur ke pertandingan hoki Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).

Namun, satu peristiwa yang berlaku semasa dia mewakili Kuala Lumpur dalam pertandingan MSSM pada 2006, sekali lagi menguji kesabaran Shahril sehingga terfikir untuk melupakan sukan hoki. Watak utama dalam insiden ini juga Cikgu Rizal.

“Ketika itu saya berusia 12 tahun dan mewakili KualaLumpur. Kebetulan Cikgu Rizal adalah jurulatih pasukan. Ketika itu perlawanan separuh akhir menentang Pulau Pinang. Pada separuh masa pertama, saya menjaringkan satu gol tapi terlepas peluang menambah gol apabila tidak kemas membuat tampanan di depan gol lawan sehingga terkena kaki sendiri.

“Sebaik melangkah keluar padang pada waktu rehat, Cikgu Rizal terus meluru dan menampar muka saya. Dia memarahi saya kerana terlepas peluang menjaringkan gol itu serta menuduh saya cuai dan sambil lewa semasa menampan bola.

“Pada separuh masa kedua, Cikgu Rizal merehatkan saya. Walaupun pasukan kami menang dan mara ke perlawanan akhir, namun peristiwa kena tampar itu sangat mengecewakan saya. Maruah saya benar-benar tercabar dan saya berasa sangat malu sehingga menangis kerana ia berlaku di depan pemain lain dan penonton.

“Ketika itu, saya terfikir untuk tidak mahu bermain hoki lagi apatah selagi Cikgu Rizal menjadi jurulatih. Namun, dalam perlawanan akhir keesokannya, saya kembali diberi kepercayaan mengetuai serangan. Kami mengalahkan Melaka 2-1 dengan saya menjaringkan satu gol.

“Selepas tamat pertandingan itu, Cikgu Rizal meminta maaf dan menerangkan tindakannya menampar saya adalah satu pengajaran agar sentiasa fokus di dalam perlawanan,” kata Shahril.

Prestasi cemerlang anak bongsu daripada 11 adik-beradik ini membolehkan dia dipilih menyambung persekolahan menengah di Sekolah Sukan Bandar Penawar, Johor atau sekarang dikenali sebagai Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail (SSTMI).

Karier Shahril di peringkat antarabangsa bermula apabila terpilih menyarung jersi pasukan remaja negara ke pertandingan Piala Sultan Johor pada 2013 dan seterusnya ke pertandingan Piala Dunia Remaja pada tahun sama.

Walaupun masih kekal bersama skuad remaja, Shahril turut dipilih mewakili pasukan senior negara di kejohanan Piala Azlan Shah pada 2014, disusuli Champions Challenge, Sukan Komanwel, Piala Asia dan Liga Hoki Dunia di Antwerp, Belgium Jun lalu.

Malah, jurulatih baru skuad hoki kebangsaan, Stephen van Huizen turut menyenaraikan nama Shahril dalam skuad yang diumumkan baru-baru ini.

Bagi Shahril, walaupun satu ketika dulu, dia memiliki perasaan menyampah, benci dan marah terhadap Cikgu Rizal, namun kini dia berasa sangat terhutang budi kepadanya. Beliau bukan sahaja mencungkil bakat dan membuka jalan malah membimbing Shahril sehingga berjaya.

“Penampar Cikgu Rizal akan saya ingat sampai bila-bila, kalau dulu ia menyakitkan tapi sekarang ia menjadi inspirasi untuk terus berjaya. Saya sudah tunaikan hajatnya yang mahu melihat saya mewakili negara.

“Kini saya mahu membuatkan dia bangga dengan pencapaian saya di peringkat antarabangsa terutama untuk layak ke Olimpik 2020. Terima kasih Cikgu Rizal,” ujar Shahril

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2015 @ 5:05 AM