Sufi (tiga kanan) membuat persembahan sambil memegang piala yang diperolehi selepas dinobatkan juara AF2015 di Dewan Auditorium MBSA, Shah Alam. FOTO Muhammad Sulaiman
Sufi (tiga kanan) membuat persembahan sambil memegang piala yang diperolehi selepas dinobatkan juara AF2015 di Dewan Auditorium MBSA, Shah Alam. FOTO Muhammad Sulaiman
Oleh Wahi Aziz


Shah Alam: Peserta dari Singapura, Sufi, muncul juara program realiti Akademi Fantasia (AF) 2015 pada konsert akhir di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam di sini, malam tadi.

Syamel pula muncul naib juara, Bila di tempat ketiga dan Sharul akur di tangga keempat.

Menerusi kemenangan itu, Sufi menerima wang tunai RM50,000, trofi AF2015 dan pakej percutian ke Dubai.

Syamel pula membawa pulang RM30,000, trofi AF2015 dan pakej percutian ke Dubai manakala Bila di tangga ketiga menerima RM20,000, trofi AF2015 dan pakej percutian ke Dubai.

Sharul di tempat keempat menerima RM10,000, trofi AF2015 dan pakej percutian ke Dubai.

Pada konsert akhir, semua pelajar diberikan dua tugasan dengan menyampaikan sebuah lagu penyanyi lain dan satu lagu baharu masing-masing.

Selaku juara, Sufi tampil dengan Andaiku Bercinta Lagi nyanyian asal Mojo dan lagu baru, Kisah Dua Muka ciptaan sendiri.

Syamel pula mempersembahkan Sampai Mati nyanyian asal Hazama dan lagu baru, Hidup Dalam Mati ciptaannya sendiri.

Bila di tempat ketiga menyampaikan Karma nyanyian asal Faizal Tahir dan lagu baru, Diam Saja ciptaan Edry Abdul Halim.

Sementara itu, Sharul muncul dengan Just The Way You Are nyanyian asal Bruno Mars dan lagu baru, Hanya Kamu ciptaan Aiman/ZL2.

Konsert akhir AF2015 diacarakan Faizal Ismail dan Zizan Razak.

Pengkritik pula dibarisi juri tetap, Datuk Ramli MS dan tiga juri undangan Datuk Aznil Nawawi, Fauziah Datuk Ahmad Daud (Ogy) dan Datuk AC Mizal.

Penyanyi Stacy dan Joe Flizzow pula bertindak sebagai juri juara bagi musim ini.

AF2015 disiarkan secara langsung pada jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123) sejak 9 Ogos lalu.

Malam akhir AF2015 turut disiarkan di 15 pawagam TGV Cinema terpilih di seluruh negara.

Pada konsert sama, AF2015 turut menyumbangkan wang RM150,000 kepada Tabung Bantuan Kemanusiaan MERCY Malaysia.

Ratu Jazz negara, Datuk Sheila Majid, kumpulan Bunkface dan Caliph Buskers tampil membuat persembahan selingan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2015 @ 12:05 AM