Kuala Lumpur: Bekas pakar beregu negara, Datuk Seri Jalani Sidek (gambar) dipilih sebagai Tokoh Asus pada majlis Anugerah Sukan Untuk Semua (ASUS) Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kelmarin.

Jalani dipilih berdasarkan sumbangan bakti beliau kepada masyarakat, pembabitan aktif dalam aktiviti sukan badminton dan pencapaian cemerlang sepanjang bergelar pemain badminton negara.

Presiden Kelab Badminton Nusa Mahsuri itu adalah atlet pertama Malaysia memenangi pingat pada temasya Sukan Olimpik selain muncul juara termuda memenangi kejuaraan Seluruh England pada 1982 dan membawa pulang Piala Thomas pada 1992.

Pada majlis itu, Jalani menerima hadiah wang tunai dan sebuah trofi yang disampaikan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Kuala Lumpur, Sa’don Suraji.

Anugerah ASUS adalah satu pengiktirafan kepada individu dan organisasi yang berjasa dan memberi sumbangan cemerlang dalam pembangunan sukan merangkumi sukan kecergasan, sukan paralimpik, sukan rekreasi, sukan mempertahankan diri dan sukan tradisional.

Selain Jalani, ada beberapa individu dan persatuan sukan turut terpilih memenangi anugerah bagi kategori masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2015 @ 6:32 AM