Samosir (Indonesia): Sebuah helikopter yang membawa lima penumpang dilaporkan hilang selepas berlepas dari Siparhaman menuju ke lapangan terbang Kualanamu di Sumatera Utara semalam.

Helikopter jenis EC 130 milik syarikat Penerbangan Angkasa Semesta itu dilaporkan hilang jam 11.50 pagi (waktu tempatan).

Jurucakap polis Samosir, Eko Suprihanto mengesahkan helikopter itu terputus hubungan tiga minit sebelum dijadualkan mendarat di Kualanamu .

“Helikopter ini hilang, tetapi kami masih belum dapat sahkan pesawat itu terhempas atau mendarat di tempat lain,” katanya.

Menurutnya, helikopter itu dikendalikan seorang juruterbang, seorang pembantu dan tiga penumpang.

Media melaporkan, helikopter itu disewa oleh seorang ahli perniagaan dari Jakarta, Marihad Simbolon yang mahu pulang ke kampung halamannya di sini.

Helikopter itu mendarat di kediaman Marihad di Siparmahan pada jam 10.30 pagi (waktu tempatan).

Selepas menurunkan Marihad dan keluarganya, helikopter itu berlepas semula pada jam 11.30 pagi dan dijangka tiba di Kualanamu, 45 minit selepas itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2015 @ 6:59 AM