SEBAHAGIAN pelari menanti detik pelepasan dalam kedinginan pagi.
SEBAHAGIAN pelari menanti detik pelepasan dalam kedinginan pagi.
LEE yang membanggakan rakan senegara.
LEE yang membanggakan rakan senegara.
ANTARA wartawan yang menyertai maraton kali ini.
ANTARA wartawan yang menyertai maraton kali ini.
TASWIN (berdiri tiga dari kanan) beramah mesra dengan penerima sumbangan CSR.
TASWIN (berdiri tiga dari kanan) beramah mesra dengan penerima sumbangan CSR.
Oleh Rahayu Mohd Salleh

Kemeriahan suasana jam 4 pagi di persekitaran Bali Safari & Marine Park, Gianyar itu amat terasa. Hawa dingin pada awal pagi bagaikan diganti dengan kehangatan kelompok besar pelari yang nyata bersemangat untuk mencipta rekod masing-masing dalam Maraton BII Maybank Bali 2015 itu.

Berpeluang menyertai larian ini sewaktu kali pertama penganjurannya tiga tahun lalu, saya memang terpesona dengan unsur tradisional yang menjadi sebahagian daripada tarikan penganjuran larian ini. Kali ini, ia juga tidak menghampakan.

Sama ada larian maraton untuk 42 kilometer (km), 21km atau 10km, bagi saya laluan maraton ini ternyata pilihan tepat buat mereka yang mencari-cari laluan berbeza daripada kebiasaan. Apatah lagi bagi mereka yang terlalu biasa berlari di kawasan bandar, laluan perkampungan ini sesuatu yang harus diterokai.

Diiringi irama gemalai muzik tradisional yang menambah kehangatan permulaan acara, laluan yang dimulakan di Jalan Prof Dr Ida Bagus Mantra itu tidaklah begitu berbukit jadi ia memudahkan pelari untuk mencipta catatan masa peribadi yang diharapkan.

Namun lebih menarik, landskap larian berlatarkan keindahan alam juga sawah bendang menghijau di kawasan perkampungan itu terasa mendamaikan.

Sekiranya ingin berhenti sebentar daripada larian atau sekadar mahu bergambar di sisi sawah padi, silakan. Jika mahu tersenyum lebar sambil selfie dengan penduduk kampung yang turut memberi sokongan di kiri dan kanan jalan, mereka juga tidak segan silu turut tersenyum lebar di hadapan kamera.

Itu belum lagi dikira kegirangan anak-anak berpakaian tradisional yang sangat rancak dan tidak jemu-jemu bersorak. Daripada pakaian tradisional penuh warna-warni sehinggalah jerit-pekik peminat cilik ini melontarkan kata-kata semangat, hati siapa yang tidak terpaut dengan kemeriahan di jalanan ini, umpama ada pesta besar-besaran pula.

Secara peribadi, sudah lebih setahun saya tidak menyertai mana-mana larian kerana keadaan lutut yang tidak mengizinkan. Namun saya tetap puas mampu menyudahkan larian di pentas kejohanan yang sangat unik ini biarpun catatan masa langsung tidak menggembirakan.

Selesai mengambil pingat yang diberikan kepada semua pelari itulah saya bertembung dengan Raizan Zainal Abidin yang ketika itu rancak berbual dengan teman pelari lain. Bendera Malaysia di bahunya itu yang membuatkan ringan saja mulut menyapa.

Apabila dinyatakan dia anggota kumpulan Pretty Ugly dan mahu ditulis pekerjaannya sebagai pencipta lagu, saya terpinga-pinga memandangnya. Rasa malu pun ada, nampak cetek benar pengetahuan saya mengenai dunia hiburan.

Namun Raizan, 41, bukan sekadar penyanyi dan pencipta lagu, dia juga pelari yang bukan calang-calang malah sebelum ini turut aktif berbasikal.

“Pengalaman berlari di Maraton Bali ini memang tidak mengecewakan. Tahun lalu kali pertama saya menyertai maraton di Bali ini dalam acara 21km. Bukan saja penganjurannya yang baik malah pengalaman berlari di kawasan kampung memang sangat menarik apatah lagi cuaca juga sejuk,” katanya yang kali ini menyertai acara serupa, 21km.

Bagi Raizan, penyertaannya di Bali itu sekadar latihan untuk mempersiapkan diri menyertai maraton Ultra Trail Merapoh sejauh 60km. Jarak paling jauh yang pernah ditempuhnya ialah 70km sewaktu menyertai Ultra Maraton Gunung Nuang yang menempatkan dirinya di tangga ketujuh dengan catatan masa kira-kira lapan jam.

Asal pembabitannya dalam bidang larian itu sewaktu dia aktif berbasikal mulai 2010. Menerusi pembabitannya itu, dia yang juga terkenal dengan jolokan nama Neves Cugat ini mula bertemu dengan rakan pelari yang memang serius di bidang larian lantas sejak 2013, dia mencuba pula bidang ini sehinggalah ke hari ini.

Memang saya tabik dengan pelari ini. Bukan saja kerana masa catatannya satu jam 40 minit untuk jarak 21km pada larian kali ini malah dalam tempoh hanya dua tahun, jarak lariannya membuatkan saya terpempan. Malah tahun hadapan, hasratnya untuk menyudahkan larian sejauh 100km pada pertandingan Ultra Maraton Rinjani.

Turut membanggakan apabila seorang rakan media yang menyertai maraton ini, Lin Say Tee berada di tangga kelima bagi kategori wanita 10km di belakang pelari antarabangsa termasuk Kenya dan Indonesia.

Bagi penganjur pula, antara kebanggaannya apabila anjur maraton ini yang juga pertandingan maraton pertama di Indonesia, disenaraikan dalam direktori rasmi Maraton Boston yang memang dikenali antara pertandingan maraton terkemuka di dunia.

Untuk penganjuran Maraton BII Maybank Bali kali ini, ia menarik lebih daripada 5,000 penyertaan untuk ketiga-tiga kategori dengan 35 hingga 40 peratus penyertaan pelari luar negara termasuk Kenya, Malaysia, Singapura, Jepun dan Amerika Syarikat.

Sumbangan bangun masyarakat Gianyar

Maraton BII Maybank Bali kali ini tidak lengkap tanpa kehadiran aktiviti tanggungjawab sosial (CSR) yang sudah menjadi kelaziman saban tahun, seiring dengan penganjuran maraton ini.

PT Bank Internasional Indonesia Tbk (BII) menjalankan aktiviti CSRnya dalam suasana sederhana, tapi penuh bermakna di Gianyar, Bali, diterajui Pengarah Presiden Taswin Zakaria.

“Melaksanakan aktiviti CSR sebagai kesinambungan sejak bermulanya

maraton ini, sudah menjadi usaha kami untuk memberi sumbangan secara positif dalam pembangunan masyarakat di Gianyar. Malah pada tahun sebelum ini, kami turut menjalankan pelbagai usaha CSR bagi menyokong bidang sukan, kesihatan umum dan pendidikan,” katanya.

Tahun ini, tumpuan usaha CSR ini membabitkan pemerkasaan ekonomi bagi masyarakat kurang upaya serta pendidikan berterusan untuk masyarakat setempat di Gianyar.

Usaha ini termasuk menyediakan bantuan kewangan kepada golongan kurang upaya iaitu Pusat Pelayanan Disabilitas Puspadi diketuai pengarahnya, Nengah Latra.

Pihak BII memberi sokongan kewangan yang digunakan sebagai modal kerja untuk meningkatkan produktiviti pusat ini dalam mengeluarkan kerusi roda dan kaki palsu. Sebagai tambahan, sokongan kewangan juga disalurkan untuk mendapatkan kenderaan bagi memudahkan pergerakan golongan ini termasuk mengedarkan produk keluaran mereka.

Menariknya, maraton ini menyaksikan 40 peserta berkerusi roda yang mengambil bahagian dalam acara 5km. Acara sedemikian sudah dimulakan sejak maraton terbabit diadakan julung kalinya pada 2012.

Pada masa sama, bank berkenaan turut memberi sokongan dengan menyediakan pakaian seragam sekolah kepada 300 pelajar sekolah menengah rendah dan sekolah tinggi daripada keluarga kurang berkemampuan di Gianyar.

Majlis penyerahan sumbangan bagi aktiviti CSR yang dimeriahkan dengan tarian kebudayaan masyarakat Bali itu turut dihadiri ahli lembaga pengarah dan komisioner BII, penerima sumbangan serta penduduk setempat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2015 @ 7:58 AM