MOHD Zani menunjukkan barangan yang diragut oleh empat suspek di Damansara. FOTO Norizuan Shamsuddin
MOHD Zani menunjukkan barangan yang diragut oleh empat suspek di Damansara. FOTO Norizuan Shamsuddin
Oleh Norizuan Shamsuddin


Petaling Jaya: Polis Petaling Jaya mahu orang awam lebih berwaspada berikutan kes jenayah ragut di kawasan terbabit membimbangkan selepas mencatatkan peningkatan sebanyak 128 kes bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini berbanding 176 kes tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, secara purata empat hingga tujuh kes ragut sehari berlaku di kawasan terbabit.

Katanya, pihaknya akan mempergiatkan lagi usaha untuk membanteras jenayah ragut di daerah terbabit bagi memastikan keselamatan awam terjamin.

"Untuk tempoh Januari sehingga hari ini, 304 kes ragut dilaporkan berlaku di daerah ini berbanding tahun lalu yang hanya mencatatkan 176 kes. Kita percaya peningkatan terbabit berikutan terdapat banyak penempatan penduduk dan mereka (peragut) banyak mensasarkan kawasan perumahan.

"Bagaimanapun, kita akan memperkasakan usaha bagi membanteras kes ragut ini dengan pelbagai cara antaranya menerusi rondaan, meningkatkan kerjasama dengan komuniti setempat dan sebagainya.

"Malah, semalam juga kita menyelesaikan satu kes ragut secara berkumpulan yang berlaku kepada wanita berusia 36 tahun berdekatan hotel di Damansara dalam masa yang singkat iaitu kurang dari lima jam selepas kejadian dilaporkan berlaku pada pada 12.30 tengah hari.

“Hasil daripada tangkapan, Unit Kereta Peronda (MPV) berjaya menahan empat suspek berusia 20 hingga 30 tahun bersama barangan milik mangsa ragut iaitu satu beg tangan yang mengandungi wang tunai bernilai RM500, dua telefon bimbit, kad bank dan sebagainya.

“Kesemua mereka di reman untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2015 @ 8:30 PM