LAIKA (depan) bersama The Aduqa Band.
Syanty Octavia Amry


Meskipun tersingkir pada minggu pertama konsert Akademi Fantasia musim ke-9 (AF9) pada 2011, Zulaika Zahari atau Laika, 26, tidak pernah menyesal memilih bidang nyanyian dan tetap meneruskannya hingga ke hari ini.

Masih aktif dan ligat menerima undangan nyanyian, baru kini Laika berani tampil dengan single sendiri.

Jika sebelum ini anak jati Kuala Lumpur ini hanya menyanyikan lagu orang lain, Laika berharap kehadiran single barunya diterima ramai.

Single terbarunya turut menyaksikan dia berduet dengan The Aduqa Band menerusi lagu berjudul Nada Hati berkonsepkan rock moden.

Bukan tidak yakin dengan single sendiri, Laika yang bernaung di bawah Sudzek Management yakin pengurusan sudah ada percaturan yang baik untuk dirinya.

“Sebenarnya rasa gementar juga untuk tampil semula di khalayak ramai. Memang sebelum ini saya masih menyanyi, tetapi suasananya berbeza apabila kita tampil secara terbuka di dada akhbar dan radio.

“Apabila bergandingan dengan The Aduqa, pastinya kami saling memerlukan.

“Bukan untuk menumpang nama sesiapa, tetapi lebih kepada berkongsi muzik yang dibawa,” katanya yang selesa menya­nyi diiringi kumpulan pemuzik.

Laika berkata, selepas promosi lagu Nada Hati barulah dia akan fokus dengan single solo berjudul Di Sudut Cinta.

Mengambil masa yang lama untuk tampil, Laika berkata, sebelum ini dia perlu mengumpul kekuatan di samping menimba lebih banyak ilmu dalam bidang nyanyian.

“Saya menyanyi kerana minat dan kebetulan dua abang saya terbabit dalam bidang muzik iaitu Zimi Sofarz dan Wan The Aduqa menguatkan lagi semangat untuk terus berada dalam bidang ini.

“Melihat kesungguhan mereka dalam berkarya meyakinkan saya untuk pergi lebih jauh lagi dan Insya-Allah walaupun tidak popular saya akan pastikan terus berada dalam bidang ini.

“Lagipun pembabitan saya dalam AF dulu sebagai platform dan apabila terpilih rasa gembira dan tidak percaya.

“Walaupun tidak lama di dalam program itu, sekurang-kurangnya AF memberi ruang untuk saya lebih mendalami dunia muzik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2015 @ 5:02 AM