MUSTAPA (kiri) menerima replika tajaan daripada Ab Latif.
Oleh Mohd Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Seramai 40 pelumba go-kart bakal berentap bagi memburu mahkota kejuaraan Kejohanan Go-Kart Takaful Ikhlas bersama NSTP di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) 6 Disember depan.

Kejohanan julung kali dianjurkan Kelab Sukan & Rekreasi NSTP dengan kerjasama dan tajaan penuh Takaful Ikhlas serta SIC itu melibatkan penyertaan daripada 15 warga kerja Takaful Ikhlas, 10 pihak pengurusan NSTP dan 15 lagi ahli kelab.

Menurut Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar yang juga Pengerusi Kelab Sukan NSTP berkata, kejohanan go-kart pertama kali diadakan itu diharapkan mampu menjadi platform terbaik dalam memupuk gaya hidup sihat di samping memperkukuhkan hubungan erat dengan pihak luar.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada pihak Takaful Ikhlas dan SIC yang sudi berkerjasama dalam menganjurkan kejohanan (go-kart) kali ini.

“Ia sama sekali berbeza dengan acara sebelum ini yang pernah pihak kelab anjurkan seperti futsal, golf, dodgeball ataupun badminton.Ini cabaran baru kepada peserta dan berharap agar acara ini akan diteruskan pada masa-masa akan datang,” katanya yang ditemui pada majlis penyerahan tajaan di Balai Berita NSTP, Bangsar, semalam.

Takaful Ikhlas yang diwakili Presiden dan Ketua Eksekutif Ab Latif Abu Bakar menyerahkan tajaan kepada Mustapa yang turut disaksikan pegawai kedua-dua pihak serta wakil media.

Sementara itu, Ab Latif menyifatkan cabaran perlumbaan go-kart ini akan membawa suatu pengalaman baru kepada peserta di mana aktiviti seumpama itu dilihat agak jarang dianjurkan.

“Kami pun tidak pernah beri penajaan dari sudut aktiviti go-kart dan ia nampak unik.

“Di samping itu, usaha kecil ini sedikit sebanyak menyemarakkan lagi dunia sukan permotoran negara supaya berkembang ke tahap terbaik dengan mencungkil bakat-bakat baru,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 November 2014 @ 5:17 AM