FOTO ihsan abcnews
FOTO ihsan abcnews
Oleh Mohd Sabran Md Sani


Johor Bahru: Pegawai khidmat pelanggan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 14 pertuduhan bagi Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tertuduh, Khalid Mohd Ismath, 25, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Mengikut tiga pertuduhan pertama, tertuduh yang aktivis pro pembangkang didakwa menerbitkan tiga komen berasingan yang mempunyai perkataan menghasut dalam aplikasi Facebook berkaitan solidariti untuk peguam Kamal Hisham Jaa'far.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerdah (IPD), Johor Bahru Selatan pada 6 petang, 9 Oktober.

Bagi 11 pertuduhan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, tertuduh didakwa membuat menghantaran komen yang jelek di laman sosial sama.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di kedai gunting rambut Raja di Taman Pelangi di sini, antara 2 September hingga 5 Oktober lalu.

Pendakwaan dilakukan Ketua Unit Pendakwaan Negeri Johor, Saiful Edris Zainuddin, manakala tertuduh diwakili peguam bela Dinesh Muthal.

Mahkamah menetapkan 3 November ini sebagai sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2015 @ 2:55 PM