Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir (kanan) ketika sidang media majlis perasmian Exporters Forum 2015 anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE). Turut kelihatan Pengerusi MATRADE Datuk Noraini Ahmah.- Foto BERNAMA

Alor Setar: Kerajaan negeri Kedah menafikan bercadang memperkenalkan peraturan berpakaian bagi wanita beragama Islam di negeri itu, kata Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir, hari ini.

Menurutnya, Kedah dan Malaysia adalah negara majmuk berbilang kaum dan mesej tersebar menerusi aplikasi WhatsApp memgenai cadangan itu berkemungkinan usaha sabotaj program Discover Kedah tahun depan.

"Itu (cadangan) adalah tidak benar. Kita tidak berhasrat ke tahap sampai hendak menguatkuasa pakaian wanita di Kedah. Di Kedah kita memberi ruang dan tidak ada sampai 'strict' sangat."

"Pada akhirnya, ia antara seseorang dengan tuhannya," katanya selepas merasmikan "Exporters Forum" anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di sini.

Mukhriz meminta semua pihak tidak perlu risau dengan perkara ini kerana sehingga kini tiada cadangan mengenai kod pakaian wanita Islam di Kedah dikemukakan di peringkat kerajaan negeri.

Mukhriz berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan Negeri Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid mengenai perkara itu semalam.

Beliau berkata, kerajaan negeri mempunyai cadangan melaksanakan peraturan berpakaian itu walaupun pada ketika ini mereka masih di peringkat perbincangan dengan Majlis Agama Negeri Kedah mengenainya.

Menteri Besar berkata, perkara mengenai cara berpakaian seseorang itu bukanlah sesuatu yang boleh dijadikan peraturan, lebih-lebih di sebuah negeri dan negara yang majmuk serta pelbagai kaum. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2015 @ 7:57 PM