KEBOLEHAN mencipta lagu, menyanyi sandaran rebut kejuaraan Projek Muzik Hot FM pada 24 Oktober ini.
Oleh Michelle Gun


Kebolehan mencipta lagu dan menyanyi berjaya menempatkan empat peserta ke pusingan akhir Projek Muzik Hot FM yang bertujuan mencari bakat baru dalam industri seni muzik tanah air.

Finalis program realiti anjuran stesen radio Hot FM iaitu SIR, Aiman, Masweera dan kumpulan Monalyssa bertuah kerana terpilih daripada 1,000 penyertaan.

Istimewanya, karya finalis turut mendapat sentuhan komposer hebat Edry Abdul Halim dan penyanyi popular Aizat Amdan.

Pentas akhir Projek Muzik Hot FM akan disiarkan secara langsung dalam program Muzik-Muzik pada 24 Oktober ini, jam 5 petang di TV3.

Penerbit program Mohd Jamira Ramli berkata, mereka terpilih bukan saja berbakat dalam mencipta lagu, tetapi turut memiliki keunikan tersendiri.

Menurutnya, kebanyakan peserta yang menghantar karya mereka boleh bermain gitar, menyanyi dengan suara ‘mellow’ dan ada yang seolah-olah meniru gaya penyanyi tertentu.

“Juri Projek Muzik Hot FM menekankan kebolehan mengarang lirik dan mencipta lagu selain mengikuti cita rasa pendengar.

“Ramai peserta menulis lagu mengenai kisah percintaan, namun lirik mereka sangat ‘cliche’.

“Ada juga peserta menghantar lagu hip hop namun Edry dan Aizat tidak mahu mengambil risiko. Mungkin tahun depan kami membuka peluang kepada peminat genre ini untuk mengetengahkan karya mereka,” katanya.

Mohd Jamira berkata, lagu semua peserta boleh didengari menerusi laman web rasmi Hot FM manakala klip video sudah dimuat naik di YouTube.

Sebelum ini, program realiti itu dikenali sebagai Projek EP Hot FM dan tahun ini, Hot FM bekerjasama dengan Muzik-Muzik bagi memberi pendedahan lebih luas.

Juara bakal membawa pulang wang tunai RM5,000, tempat kedua sebanyak RM3,500 manakala pemenang tempat ketiga akan menerima RM1,500.

Setiap pemenang turut akan menerima publisiti media serta pembikinan muzik video secara profesional.

Aizat idola Monalyssa

Pernah menyertai Projek EP Hot FM yang mengetengahkan konsep sama tahun lalu, Monalyssa mempertaruhkan lima karya terbaik dan lagu Dua Kaki Berlari berjaya menarik perhatian juri.

Teruja terpilih sebagai finalis pertandingan terbabit, kumpulan yang dianggotai Haiqal (penyanyi), Moja (bass), Syuk (gitar), Ball (gitar) dan Ringo (drum) itu turut berbesar hati berpeluang bekerjasama dengan Aizat.

Moja, 23, berkata, Monalyssa mengetengahkan genre muzik alternatif rock dan pemilihan Aizat sebagai guru kumpulan itu tepat kerana memahami jiwa serta cita rasa muzik golongan muda.

“Aizat ialah idola kami dan dia membantu mengemas kembali lagu Dua Kaki Berlari agar lebih sedap didengar. Dia juga banyak memberi tunjuk ajar dan nasihat berkaitan muzik,” katanya.

Menurutnya, pencapaian itu sebagai tanda usaha keras kumpulan Monalyssa sepanjang mengharungi pelbagai cabaran dalam industri seni muzik tanah air sejak ditubuhkan pada 2010.

“Kami pernah membuat persembahan, namun tiada sesiapa peduli. Selain itu, kami juga pernah ‘busking’, tetapi hanya menerima kutipan sebanyak RM19,” katanya.

Sememangnya kumpulan Monalyssa bukan calang-calang orang kerana semua anggotanya berpendidikan tinggi dan pernah berkongsi pentas dengan beberapa artis indie popular antaranya Radhi OAG, Seven Collar T-Shirt dan Couple.

SIR menyanyi sejak berusia tujuh tahun

Pakar fisioterapi bebas, Safwan Idham Ramlan atau lebih dikenali dengan nama pentasnya, SIR antara peserta yang bakal berentap di pentas akhir Projek EP Hot FM.

Mempertaruhkan lagu balada berjudul Maaf, karya itu dicipta pada 2013 dan mengisahkan insan yang ditinggalkan orang tersayang.

“Seperti finalis lain, saya tidak sangka terpilih ke final dan menyertai pertandingan ini atas dorongan keluarga serta rakan-rakan.

“Tambah pula, saya mahu melihat sama ada karya saya dapat diterima pendengar dan penggiat seni,” katanya.

Berasal daripada keluarga seni, SIR, 25, berkata, dia berpuas hati dengan hasil lagu Maaf selepas dikemas dan lirik disusun semula oleh Edry.

“Saya teruja berpeluang menuntut ilmu dengan Edry yang mempunyai pengalaman lama dalam industri seni muzik tanah air.

“Edry turut menasihati supaya jangan lambat masuk korus supaya pendengar tidak cepat jemu,” katanya yang minat menyanyi sejak berusia tujuh tahun.

Aiman rahsiakan penyertaan daripada keluarga

Pelajar tahun akhir jurusan senibina di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Aiman menerusi karyanya Kamu yang mengisahkan mengenai kehidupan turut berjaya melangkah ke pentas akhir.

Aiman atau nama sebenarnya Mohamad Aiman Mamat, 23, berkata, dia minat menyanyi dan menulis lagu sejak di bangku sekolah dan mempunyai hampir 20 lagu yang belum pernah diperdengarkan kepada umum.

“Lagu yang dicipta banyak mengisahkan mengenai diri sendiri dan rentaknya adalah universal.

“Untuk pertandingan ini, saya mencuba nasib dengan mempertaruhkan dua lagu iaitu Tawar Hati dan Kamu. Mungkin sebab lirik dan aura Kamu menyebabkan juri memilih lagu itu untuk ke final,” katanya.

Bakat kelahiran Terengganu itu bangga apabila karyanya diiktiraf Aizat malah penyanyi terbabit turut menyukai suaranya yang serak.

“Dia tidak banyak mengubah lagu Kamu dan mendapati bekerjasama dengan Aizat mudah. Kami juga saling menyumbang idea untuk memperbaiki lagu itu supaya sedap didengari.” katanya.

Ujar Aiman lagi, pada awalnya dia merahsiakan penyertaannya dalam Projek Muzik Hot FM daripada keluarga, namun terbongkar selepas muncul dalam program Muzik-Muzik.

Masweera mahu jadi komposer

Masweera Mahadi, 24, yang berasal dari Miri, Sarawak mempertaruhkan lagu ciptaannya, Jangan Bandingkan Aku.

Menurut pelajar ijazah Sarjana Muda Pengurusan Penerbangan di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Institut Teknologi Penerbangan (MIAT) itu, lagu Jangan Bandingkan Aku pada asalnya berentak jazz namun diubah Edry kepada retro.

“Walaupun ditukar, tetapi hasilnya amat memuaskan dan Edry melakukan demikian supaya lagu itu lebih rancak dan senang diterima pendengar.

“Jangan Bandingkan Aku mengisahkan kekasih dan memintanya supaya tidak perlu mengenang semula kenangan lampau,” katanya.

Masweera berkata, program realiti sedemikian sudah lama ditunggu-tunggu kerana membolehkannya mengetengahkan karyanya kepada umum.

“Saya menyimpan hasrat untuk menjadi komposer dan sekiranya diberi peluang ingin menghasilkan lagu untuk Hafiz Suip serta penyanyi popular tanah air,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2015 @ 7:28 AM