Oleh Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Kejayaan muncul juara keseluruhan bakal menjadi hadiah kemerdekaan buat Malaysia apabila Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengesahkan Sukan SEA 2017 akan berlangsung dari 19 hingga 31 Ogos.

Perkembangan itu diumumkan Presiden MOM, Tunku Imran Tuanku Ja’afar selepas mempengerusikan mesyuarat eksekutif badan berkenaan semalam.

“Kami sudah menetapkan tarikh akhir untuk Sukan SEA 2017 iaitu 19 hingga 31 Ogos. Perkara ini akan dimaklumkan Persekutuan Sukan SEA (SGF) kepada negara lain.

“Tarikh penutup berkenaan (31 Ogos) adalah sempena kemerdekaan negara (ke-60), seperti yang diminta Kementerian Belia dan Sukan (KBS),” katanya.

Jelasnya, tarikh cadangan awal iaitu 16 September bertembung dengan Sukan Seni Mempertahankan Diri Tertutup Asia di Ashgabat, Turkmenistan.

Sementara itu Tunku Imran mengingatkan Persatuan Sepaktakraw Malayasia (PSM) supaya memberi alasan relevan dalam mencadangkan sebarang acara pada temasya dwitahunan itu.

“Terpulang kepada PSM untuk membuktikan kepada kami mereka mampu memenangi emas dengan meletakkan acara chinlone. Mereka juga perlu mengkaji aspek lain seperti kos sampingan membabitkan pegawai teknikal dan sebagainya, adakah ia berbaloi?

“Apakah juga nilai sukan berkenaan di Malaysia? Itu yang perlu dipersoalkan jawatankuasa penganjur kerana kami tidak mahu sukan yang tidak popular hingga gagal mendapat sambutan penonton,” katanya.

Arena Metro sebelum ini melaporkan PSM berhasrat untuk menganjurkan sukan tradisional Myanmar, chinlone selain empat sebelah pada temasya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2015 @ 8:06 AM
Digital NSTP Subscribe