Nicol akan berdepan Laura Massaro Khamis ini. - Pix US Squash

Kuala Lumpur: Pemain nombor dua dunia Datuk Nicol David mara ke suku akhir kejohanan Skuasy Terbuka Amerika Syarikat 2015 di Daskalakis Athletic Center, Drexel University di Philadelphia, Amerika Syarikat, sebentar tadi.

Menurut laman sesawang rasmi kejohanan www.usopensquash.com juara bertahan tiga kali itu berada pada laluan cerah untuk mempertahankan kejuaraan selepas kalah kepada juara remaja dunia, Nouran Gohar pada Terbuka China, Sept lalu.

Nicol hanya memerlukan 34 minit untuk mengalahkan pemain muda Mesir itu 11-6, 11-7 dan 11-7.

"Beliau seorang pesaing yang kuat dan melakukannya dengan begitu baik sejak beberapa bulan kebelakangan ini," kata Nicol yang dipetik dalam laman sesawang kejohanan.

Kemenangan tersebut bakal mengulangi pertemuan final Terbuka AS 2013 dan Nicol akan beraksi menentang pemain England Laura Massaro Khamis ini dan pertembungan adalah bukti kehebatan kepada jelajah ini.

"Sangat hebat. Seperti boleh dilihat setiap orang memilih permainan mereka. Berdepan dengan Laura di suku akhir merupakan hadiah kepada penonton," kata Nicol.

Laura menempah tempat di suku akhir dengan mengalahkan pemain tuan rumah, Amanda Sobhy 11-8, 7-11, 11-4 dan 11-9 dalam tempoh 49 minit. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2015 @ 1:22 PM