Oleh Isma Ismail

Johor Bahru: Anggota bomba menyelamatkan seorang wanita warga emas lumpuh yang terperangkap dalam rumahnya selepas suaminya meninggal dunia di Taman Bukit Mewah, di sini, pagi tadi.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Bahru bergegas ke kediaman yang dihuni warga emas berusia 70 tahun selepas menerima panggilan kecemasan jam 7.27 pagi.

Pegawai Operasi BBP Johor Bahru Pegawai Bomba Kanan 11 Azman Surani berkata, setibanya di tempat kejadian wanita warga emas berkenaan didapati tidak dapat keluar dari rumahnya kerana lumpuh.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati suaminya yang berusia 75 tahun sudah meninggal dunia.

Katanya, lelaki berkenaan dipercayai meninggal dunia ketika sedang tidur.

"Wanita berkenaan kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA).

"Operasi yang dijalankan tamat jam 8.05 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 November 2014 @ 11:20 AM