KENDERAAN orang awam yang dilanggar suspek ketika cuba melarikan diri.
Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Petaling Jaya: Dua daripada tiga penjenayah yang terbabit dalam insiden tembak di Blok E, Flora Damansara, di sini, semalam diberkas polis, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten komisioner Mohd Zani Che Din berkata, dua suspek terbabit ditahan di lokasi berasingan di Ampang dan Sentul kira-kira 5 pagi tadi.

Menurutnya, tiga suspek itu pada mulanya dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika menaiki kereta di kawasan parkir Flora Damansara.

"Kami mengarahkan suspek memberhentikan kereta namun suspek bertindak agresif dengan cuba melanggar anggota bertugas menyebabkan kami melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar kereta.

"Dalam keadaan kelam kabut suspek melarikan diri dan dalam masa sama kereta dinaiki tiga lelaki itu melanggar beberapa kenderaan lain dikawasan itu," katanya.

Menurut Mohd Zani, tindakan susulan dilakukan pihaknya mengesan dan menahan seorang suspek di Ampang manakala seorang lagi di Sentul pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2015 @ 3:32 PM