BOT nelayan ditahan APMM. FOTO Ihsan APMM
BOT nelayan ditahan APMM. FOTO Ihsan APMM
Oleh Fuad Hadinata Yaacob


Klang: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan bot nelayan tempatan serta lima nelayan warga asing yang mempunyai dokumen meragukan di perairan Sekinchan, Selangor kira-kira jam 2.30 petang semalam.

Ketika ditahan bot berkenaan sedang menangkap ikan di 12 batu nautika perairan Sekinchan.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah Klang, Laksamana Pertama Maritim Mohd Aliyas Hamdan berkata, kapal ronda Maritim Malaysia mengesan bot nelayan kelas C dalam keadaan meragukan ketika sedang menangkap ikan di perairan Sekinchan.

Beliau berkata, pemeriksaan menemui tekong bot dan empat awak-awak adalah warga asing dan mempunyai dokumen meragukan malah seorang daripada mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

"Mereka yang berusia antara 25 hingga 45 tahun itu didapati tidak mempunyai kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk bekerja di atas bot berkenaan.

"Bot bersama lima yang ditahan itu dibawa ke jeti Daerah Maritim Klang untuk disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2015 @ 4:11 PM