Miri: Sepasang suami isteri dipercayai baru berjinak dalam pengedaran dadah ditahan selepas polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM341,000 di sebuah rumah di Taman Tunku di sini, petang semalam.

Ketua Polis Miri ACP Junaidi Bujang berkata pasangan itu yang berumur awal 30-an ditahan dalam serbuan 3.30 petang semalam dan hasil pemeriksaan ujian air kencing suspek lelaki didapati positif dadah.

"Polis menjumpai dadah jenis ketamin seberat 3.9kg, 928 biji pil erimin, 47 pil ekstasi dan syabu seberat 18 gram," katanya hari ini.

Junaidi berkata serbuan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuching dan Miri itu menemui dadah yang disembunyi dalam peti besi dan bantal.

"Pasangan itu adalah rakyat tempatan dan penganggur. "Kami sedang menyiasat dari mana pasangan ini mendapat bekalan dadah dan ke mana ia hendak dijual,," katanya. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2015 @ 6:58 PM