Majalah Playboy keluaran November 2015 yang dijual di kedai buku di Bethesda, Maryland, Amerika Syarikat. Edaran edisi cetak majalah itu kini hanya 800,000 berbanding jutaan naskhah sebelum ini. - Foto  AFP
Majalah Playboy keluaran November 2015 yang dijual di kedai buku di Bethesda, Maryland, Amerika Syarikat. Edaran edisi cetak majalah itu kini hanya 800,000 berbanding jutaan naskhah sebelum ini. - Foto AFP

New York: Majalah Playboy tidak akan lagi menyiarkan gambar wanita bogel melalui penjenamaan semula majalah itu mulai Mac 2016.

Menurut laporan The New York Times, majalah itu akan masih menyiarkan gambar wanita dengan aksi menggoda tetapi tidak bogel sepenuhnya.

Pengarang Playboy, Cory Jones, menghubungi pengasas yang juga Ketua Pengarang, Hugh Hefner, baru-baru ini mengenai membuang gambar bogel untuk edisi cetak dan Hefner bersetuju.

Keputusan itu membawa perubahan besar kepada majalah berkenaan yang pernah menyiarkan gambar seksi Marilyn Monroe di muka depan untuk edisi pertamanya pada 1953.

Difahamkan keputusan membuang gambar wanita bogel itu berikutan perkembangan teknologi yang membolehkan gambar bogel diakses dengan mudah.

“Kita hanya memerlukan satu klik untuk apa saja aksi seks dengan percuma,” kata Ketua Pegawai Eksekutif syarikat majalah itu, Scott Flanders.

Menurut The New York Times, edaran edisi cetak majalah Playboy yang sebelum ini pernah mencapai jutaan naskhah, kini hanya 800,000.

Namun Flanders membangkitkan persoalan: “Jika tiada lagi gambar bogel, apa yang tinggal?” - AP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2015 @ 7:21 PM