Antara yang ditahan dalam OPS Sapu dari tengah malam hingga pagi tadi. FOTO Nabihah Kamal
Oleh Nabihah Kamal


Kuala Lumpur: Wanita warga Indonesia berusia 31 tahun sanggup terjun dari tingkat satu apartmen kos sederhana di Taman Jinjang Baru, di sini untuk melarikan diri kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, tetapi akhirnya ditahan anggota Jabatan Imigresen, pada 2 pagi tadi.

Dia antara 89 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia, Bangladesh dan Filipina yang ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa dan memiliki pas lawatan kerja sementara (PLKS) palsu dalam Ops Sapu bermula 12 tengah malam hingga 4.30 pagi tadi.

Nasibnya juga baik kerana tidak cedera.

Seramai 179 pegawai dan anggota dari Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) menyerbu apartmen yang menjadi penempatan penduduk warga asing itu.

Lebih 200 warga asing diperiksa dalam serbuan itu

Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur , Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan, berkata, serbuan dijalankan selepas risikan selama sebulan.

"Kami menahan 89 PATI dari Indonesia, Bangladesh dan Filipina terdiri daripada 53 lelaki dan 36 wanita.

"Kami turut menemui pasport palsu yang digunakan oleh PATI untuk mengaburi pihak berkuasa dan kami percaya bahawa ada sindiket yang mengeluarkan passport palsu itu yang dijual dengan harga murah, " katanya.

Menurutnya, semua yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana kesalahan tinggal lebih masa dan Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 kerana memiliki pas lawatan kerja sementara (PLKS) Palsu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2015 @ 8:38 PM