FEROZ bersama hidangan yang menanti di Restoran Xi’an Oriental.
Oleh Suliati Asri


Restoran Cina Muslim kini tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan, terutama di ibu kota. Hampir semuanya menawarkan hidangan yang hampir serupa dan mengambil resipi asal dari China.

Walaupun turut mengambil resipi dan tukang masak dari China, definisi makanan Cina Muslim yang diketengahkan Restoran Xi’an Oriental agak berlainan.

Ini kerana juadah diketengahkan di restoran ini menggunakan resipi kaum Cina tempatan, tetapi halal.

Minat terhadap keunikan dan keenakan masakan Cina, tetapi sukar memperoleh yang halal menjadi penyebab Restoran Xi’an Oriental dibuka.

Pengurusnya Feroz Khan Tajmohd, 30, berkata, juadah Cina mempunyai rasa unik, tetapi sukar memperoleh yang halal di negara ini.

Dek minat dan ingin mengetengahkan sesuatu yang baru, restoran ini dibuka hampir setahun lalu.

“Ramai termasuk masyarakat Melayu sukakan keunikan dan keenakan masakan Cina. Namun, biasanya ia dimasak menggunakan bahan tidak halal.

“Jika teringin masakan Cina halal terutama makanan laut, mereka perlu terbang ke China untuk merasainya,” katanya.

Menyedari kesukaran itu, Restoran Xi’an Oriental memastikan masakan Cina dimasak seratus peratus menggunakan bahan halal.

Restoran di Taman Melawati ini, menu yang disajikan lebih memfokuskan kepada makanan laut.

Menurut Feroz, makanan laut boleh dipelbagaikan cara masakannya dan ada keunikan rasa tersendiri.

“Makanan laut memberi cabaran kerana jika tidak segar, rasanya akan berubah dan tidak sedap.

“Untuk mengekalkan keenakan setiap makanan laut yang disajikan, kami mengambil bekalan dari Tanjung Karang, Selangor,” katanya.

Antara menu popular ialah ikan masak cili padi dan ikan stim Hong Kong.

Penggunaan ikan segar dan perasa ringkas untuk memasak dua menu itu menyebabkan ia digemari ramai.

Ketam cili yang menggunakan cili api dan telur juga menjadi pilihan. Walaupun agak pedas, rasa manis dari telur dan sedikit pemanis daripada memberikan kelainan.

Ikan goreng rangup dan sos nyonya juga antara menu yang perlu dicuba.

Kata Feroz, ikan kerapu dan siakap yang digunakan untuk juadah itu hanya digoreng dengan minyak yang cukup panas.

“Apa yang membuatkan menu ini istimewa dan berbeza ialah sos nyonya yang dicurah ke atas ikan goreng itu.

“Ini kerana sos nyonya yang kami gunakan dimasak menggunakan resipi ciptaan sendiri.

“Penggunaan sayur seperti terung dan bendi menjadi penambah kepada keenakan dan keunikan juadah ini,” katanya.

Udang mentega yang digoreng bersama labu dibakar juga antara menu yang perlu dicuba.

Begitu juga kacang buncis goreng telur masin yang jarang dihidangkan di restoran lain.

Beroperasi dari jam 11 pagi hingga 11 malam dari Sabtu hingga Khamis dan dari 2 petang hingga 11 malam pada setiap Jumaat, Restoran Xi’an Oriental menawarkan banyak lagi hidangan menarik kepada penggemar makanan Cina.

Menu Istimewa

- Ikan goreng rangup dan sos nyonya

- Kacang buncis telur masin

- Ketam cili

- Udang goreng labu

- Ikan masak cili Padi

- Ikan stim Hong Kong

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2015 @ 9:59 AM