JULIANA Evans.
LYNDA Rahim (tengah) bersama Juliana dan peragawati pada majlis pelancaran koleksi perkahwinan Nuevo Estilo.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Jika orang lain rungsing memikirkan soal perkahwinan, tetapi tidak bagi aktres cantik Juliana Evans.

Pada usianya yang baru menginjak 26 tahun, Juliana mengakui belum bersedia melangkah ke alam rumah tangga.

“Sekarang saya belum terfikir lagi soal kahwin kerana tiada teman lelaki, tetapi siapa kita untuk menghalang jodoh dan ketentuan Tuhan? Justeru, saya tak perlu nak terburu-buru dan belum terdesak untuk berkahwin. Saya ada beberapa tahun lagi sebelum mula memikirkan ke arah itu,” katanya.

Jelas Juliana atau mesra disapa Jue, dia hanya mula bimbang jika pada usia 29 atau 30 tahun nanti dia belum memiliki kekasih.

“Saya menyasarkan sebelum umur 30 tahun akan berkahwin, tetapi jika tiga tahun lagi belum ada kekasih, baru saya akan bimbang.

“Bukan tak mahu bercinta dari sekarang, tetapi saya mahu fokus kepada kerjaya. Lagi pun, pulang dari Los Angelas awal tahun ini karier saya baru nak bertapak semula,” katanya.

Menurut Jue, keluarganya juga tidak pernah mendesak atau memaksanya berkahwin segera sebaliknya mereka mahu pelakon filem Kami The Movie ini mencari keserasian sebelum memikirkan fasa lebih serius.

Alasan kepada jawapan Jue itu juga didorong oleh sikapnya yang takut memberikan komitmen dalam percintaan selepas beberapa kali dikecewakan .

“Jujurnya, komitmen bercinta sangat menakutkan kecuali jika berjumpa dengan lelaki yang betul-betul sesuai. Dalam perkara ini, bukan mudah nak berkawan atau mencari ‘Mr Right’.

“Apabila sudah bertemu nanti, saya yakin segala-galanya akan lebih baik. Tiada istilah serik atau takut pisang berbuah dua kali, tetapi lebih kepada nak mencari teman yang betul-betul memahami saya daripada segala segi,” katanya.

Penjelasan Jue itu sekali gus menafikan dia mempunyai hubungan istimewa dengan seorang pemain bola sepak pasukan JDT.

“Memang saya ada mengenali beberapa pemain JDT, tetapi itu tidak bermakna saya mempunya hubungan istimewa dengan mereka, apatah lagi saya berkawan dengan isteri Safiq Rahim.

“Ketika cerita itu disebarkan, kebetulan saya bersama kawan-kawan berada di Johor Bahru, jadi kami pun pergi menyaksikan perlawanan pasukan bola sepak membabitkan JDT. Kalau ada yang kata saya kerap pergi ke stadium, itu semua tipu. Baru dua kali saya pergi bersama kawan-kawan,” katanya.

Terdahulu Jue dipilih menjadi wajah kempen bagi koleksi perkahwinan pereka ternama Lynda Rahim iaitu Nuevo Estilo.

“Ini kali pertama saya terbabit sebagai ‘muse’ untuk koleksi perkahwinan. Bukan apa, saya jenis suka berangan setiap kali menggayakan busana seperti ini. Bukannya berangan berada di majlis sendiri, tetapi lebih kepada perasaan,” katanya.

Pembabitan Jue itu seterusnya menolak pandangan segelintir masyarakat mengatakan seseorang itu akan hilang seri pengantin jika memakai busana terbabit sebelum tiba hari sebenar.

Rezeki jadi duta

Sekembalinya dia ke tanah air selepas dua tahun berada di Amerika Syarikat, rezeki Jue mencurah apabila bergelar duta produk bagi empat jenama antarabangsa antaranya syampu dan produk mandian.

“Ini semua rezeki dan tak patut ditolak. Apa yang diperoleh hari ini adalah kerja keras pasukan dan pihak pengurusan saya iaitu Uprising Entertainment. Saya buat semua ini bukan kerana duit semata-mata sebaliknya mahu membantu dan menyenangkan keluarga. Sebelum ini saya sudah membelikan ayah kereta dan mahu beli rumah untuk emak pula,” katanya.

Justeru menurut Jue, dia sentiasa ada perancangan bagi memastikan setiap impiannya tercapai dan meskipun dihujani tawaran menjadi duta, Jue sesekali tidak melupakan bidang lakonan. Cuma dia belum berkesempatan menjayakan tawaran diterima ekoran kekangan masa dan komitmen kerja yang lain.

“Kalau ada peluang saya mahu berlakon filem sebab boleh fokus. Dari situ ia dapat membantu saya menghayati watak diberikan. Kalau drama pula, sudah semestinya saya mahu melihat jalan cerita dan skrip yang menarik. Pada saya semua pelakon menggunakan pendekatan sama,” katanya.

Menurut Jue lagi, dia tidak meletakkan bayaran sebagai ukuran sebelum menerima sesuatu tawaran lakonan sebaliknya kualiti naskhah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2015 @ 11:55 AM