Jenazah Abdul Kadir selamat dikebumikan. FOTO/VIDEO Syazwan Msar
Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Jenazah bekas Mufti Wilayah Persekutuan Tan Sri Abdul Kadir Talib selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini, kira-kira 3 petang tadi.

Abdul Kadir meninggal dunia pada 6.40 pagi tadi di sebuah hospital swasta, di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) akibat sakit tua.

Bacaan talkin dan doa disempurnakan Imam Besar Masjid Putra, Putrajaya, Abd Manaf Mat.

Turut hadir pada majlis pengebumian itu adalah Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, selain anak sulung Allahyarham, Wafaa Abdul Kadir dan adik-beradiknya serta saudara mara.

Allahyarham yang berkhidmat sebagai Mufti Wilayah Persekutuan dari 1991 hingga 1997 meninggalkan lima anak terdiri daripada seorang lelaki dan empat perempuan serta 10 cucu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2015 @ 6:24 PM