Anggota bomba dalam usaha mencari dan menyelamat Mohamad Amirul Ilham yang dikhuatiri lemas. FOTO Rosli Ilham
Oleh Rosli Ilham

Chukai: Pemuda berusia 24 tahun dikhuatiri lemas selepas mandi di Pantai Kijal, di sini, 4.30 petang tadi.

Mangsa, Mohamad Amirul Ilham Mohd Kebil dari Taman Paka Perdana 2, Dungun dikatakan dipukul ombak besar dan dihanyutkan ke tengah laut.

Mangsa yang masih bujang dan bekerja sebagai mekanik dipercayai berkelah bersama ahli keluarganya di pantai itu.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Chukai Azmi Mohamad mengesahkan pihaknya ada menerima laporan kehilangan mangsa.

Katanya, pihaknya hanya dapat jalankan pencarian di tepi pantai ketika ini berikutan ombak kuat di kawasan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2015 @ 8:14 PM