BAPA kepada mangsa culik, Lee Kim Wen (tengah) dan datuknya, Lee Sui (kanan) mengucapkan terima kasih kepada pemandu teksi, Hanizan Mohamad Radzi, 40, (kiri), di Mahkamah Majistret, Jumaat, yang menghadapi dakwaan berhubung kes culik kanak-kanak lima tahun di Sungai Chua, minggu lepas. Bagaimanapun, Hanizan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret daripada tuduhan menculik kanak-kanak berkenaan. FOTO Bernama
Oleh Nurul Huda Kosnon

Kajang: "Sebagai pemandu teksi saya akan membantu sesiapa saja tidak mengira bangsa.”

Itu reaksi pemandu teksi, Hanizan Mohamed Radzi, 40, yang menghantar pulang kanak-kanak yang diculik di Sungai Chua, Kajang ketika ditanya adakah beliau menyesal membantu kanak-kanak terbabit dan menyerahkannya kepada keluarganya, Jumaat lalu.

Hanizan yang juga saksi utama kejadian itu berkata, dia kini mempunyai hubungan baik dengan ahli keluarga kanak-kanak terbabit selain menerima layanan dan penghargaan daripada mereka yang turut mengucapkan ribuan terima kasih.

"Ahli keluarga kanak-kanak itu memberikan pandangan yang positif terhadap saya dan kami tiada sebarang masalah," katanya.

Katanya, dia turut meminta masyarakat di luar tidak memandang negatif berhubung penahanannya sebaliknya perlu menganggap ia sebagai usaha yang terbaik membantu pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan terutama membabitkan kes culik kanak-kanak itu.

"Sepanjang tempoh penahanan saya turut mendapat layanan yang baik daripada pihak berkuasa," katanya.

Hanizan dibebaskan dengan bon polis mengikut Seksyen 49 Kanun Prosedur Jenayah.

Tindakan itu selepas polis berpuas hati dengan keterangan yang diberikan dan tidak mempunyai kaitan dengan suspek dan kejadian culik berkenaan.

Terdahulu, Kanak-kanak berusia lima tahun diculik dua lelaki ketika dihantar ibunya ke tadika di Taman Setia, Sungai Chua, 9 pagi, pada 9 Oktober lalu.

Kanak-kanak itu bagaimanapun ditemui pemandu teksi terbabit berjalan seorang diri di Bukit Angkat Sungai Chua sebelum menghantarnya pulang ke rumah keluarga mangsa di Taman Cahaya Suria.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2015 @ 9:53 PM