BARZAGLI (kiri) bimbang prestasi semasa pasukan.

Milan: Impian Juventus untuk mempertahankan gelaran musim ini berdepan satu lagi halangan apabila ‘Derby d’Italia’ menghidangkan peluang untuk Inter Milan menduduki tangga teratas Serie A jika berjaya menundukkan skuad kendalian Massimiliano Allegri itu.

Juventus melakar keputusan baik di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara, tetapi persembahan mereka di liga domestik agak tidak menentu.

Permulaan buruk di Serie A menyaksikan mereka ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu, Fiorentina dan lapan mata di belakang Inter yang menduduki tangga kedua.

Inter tidak pernah menewaskan Juventus di San Siro sejak memenangi trebel pada 2010 dengan menjulang gelaran liga, Piala dan Liga Juara-Juara ketika dibimbing Jose Mourinho.

Kemenangan Inter ke atas Juventus minggu ini akan menyaksikan juara bertahan itu tertinggal 11 mata di belakang Nerazzurri dan ia mungkin terlalu banyak, kata pertahanan Juve Andrea Barzagli.

“Memang musim masih awal, tetapi jika Inter berada di depan dengan kelebihan 11 mata, ia pasti mengundang masalah buat kami,” kata Barzagli.

Dia perlu memerhatikan pergerakan penyerang Inter Mauro Icardi yang sudah meledak enam gol sepanjang lima pertemuan dengan Juventus, tiga darinya hadir ketika mewakili Sampdoria.

Satu-satunya kejutan yang diterima Inter ialah apabila tewas 1-4 di tangan Fiorentina dan ia menjadi petanda paling diingati oleh anak buah Roberto Mancini itu yang sudah tentu tidak mahu insiden sama berulang lagi.

Inter akan kembali diperkuatkan dengan kehadiran penyerang Stevan Jovetic manakala Juventus bakal kehilangan pertahanan Uruguay Martin Caceres akibat kecederaan pergelangan kaki. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2015 @ 6:48 AM