Xiaoming dirawat di hospital.

Beijing: Seorang wanita dipercayai menghidap skizofrenia memotong alat sulit dan beberapa jari anak lelaki jirannya berusia enam tahun menggunakan gunting serta pisau kerana kanak-kanak itu menganggu tidurnya.

People’s Daily Online melaporkan, budak bernama Xiaoming kini dirawat di hospital manakala Liu ditahan polis.

Liu dilaporkan tinggal di rumah sepupunya di Shaodong pada 11 Oktober lalu dan Xiaoming masuk ke biliknya beberapa kali ketika wanita itu tidur menyebabkan dia marah.

Liu kemudian bangun mengambil pisau dan gunting di dapur sebelum menikam budak itu pada muka, jari serta alat sulitnya. Akibat serangan itu, beberapa jari dan kemaluan Xiaoming terputus.

Selepas itu, Liu tidur, tetapi kemudian melarikan diri dari tempat kejadian. Polis menahannya pada petang sama.

Doktor yang merawat mangsa di Hospital Xiangya berkata, kemungkinan besar Xiaoming tidak dapat menggunakan lagi anggota badan yang dikerat.

Polis juga belum menemui zakar Xiaoming yang dipercayai disorok Liu.

Kes itu masih disiasat dan Liu berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun jika didapati bersalah. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2015 @ 6:55 AM