Antara warga asing yang ditahan. FOTO ihsan Jabatan Imigresen
Oleh Fuad Hadinata Yaacob


Shah Alam: Seramai 61 warga asing ditahan dalam Operasi Ikrar oleh Jabatan Imigresen bersama beberapa jabatan lain di tapak pembinaan Jalan Alam Suria, Puncak Alam dekat sini pagi tadi.

Dalam operasi dari 1.40 hingga 4.20 pagi itu 163 warga asing diperiksa dan 61 daripada mereka ditahan membabitkan 54 warga Indonesia, enam Myanmar dan seorang warga India.

Ketua Unit Tindakan Imigresen Bahagian Penguat kuasa Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya Hazizan Abdullah berkata, operasi itu disertai 118 penguat kuasa membabitkan Jabatan Imigresen Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor, pegawai Sistem Pendaftaran dan Penguatkuasaan Warga Asing (NERS) serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Katanya, antara kesalahan yang dilakukan ialah tidak memiliki dokumen perjalanan sah, pas lawatan sosial tamat tempoh serta pas lawatan kerja sementara palsu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c); Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 pindaan 2002.

"Mereka dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut dan ketika operasi tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2015 @ 4:44 PM