PERLU kerap periksa penapis udara.
PERLU kerap periksa penapis udara.

Perlukah saya mencuci atau menukar yang baru bagi penapis udara kerana jarak kenderaan sudah mencapai 10,127 kilometer?

YUSOF

Kota Bharu

Karburetor dan penapis udara memerlukan perhatian setiap 10,000km. Faktor utama kehausan omboh dan blok enjin adalah disebabkan udara kotor memasuki kebuk pembakaran.

Ini berikutan laluan kemasukan udara adalah punca benda asing masuk ke dalam enjin itu. Oleh itu, jangan memperlekehkan peranan penapis udara kenderaan anda, sama ada motosikal atau kereta.

Pastikan penapis udara adalah tulen dan sentiasa bersih. Ia juga bergantung pada keadaan pemanduan anda, jika menggunakan jentera di kawasan berdebu, elok diperiksa penapis udara lebih kerap.

Karburetor juga mempunyai skru di bawah takungan untuk mengeluarkan bahan api. Tujuannya untuk membuang bahan api kotor yang mungkin dicemari habuk atau air.

Jika mahu melakukan servis sendiri, buka taku­ngan itu dan bersihkan habuk halus yang terkumpul.

Periksa dan keringkan titisan air serta karat yang mungkin terkumpul. Selain itu, dinasihatkan supaya memasang penapis bahan api untuk mengurangkan masalah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2015 @ 5:00 AM