Skip this ad x
PASUKAN GPL Batu Pahat memperagakan trofi, medal dan replika cek selepas dinobat juara kejohanan di Padang SK Sri Mersing, Johor.
Oleh Mohd Sah Muda

Mersing: Gabungan Pusat Latihan (GPL) Batu Pahat mengungguli Kejohanan Bola Sepak 8 Sebelah Bawah 12 tahun merebut Piala Datuk Baharudin Monshie 2015 selepas mengalahkan skuad Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSS) Pahang A, 2-1 dalam aksi final yang berlangsung di Padang SK Sri Mersing, Johor baru-baru ini.

GPL Batu Pahat yang kalah kepada MSS Pahang A, 1-0 di peringkat kumpulan, berjaya membalas dendam di final dan mendahului pelawat pada minit ke-15 melalui ketua pasukan Muhammad Zulhaika Osman.

Pada minit ke-26, Muhammad Nasrullah Ibrahim menjadikan kedudukan 2-0 hasil rembatan kemas yang gagal diselamatkan penjaga gol Pahang A.

Pelawat merapatkan kedudukan menerusi penalti selepas penyerang mereka dijatuhkan penjaga gol GPL Batu Pahat dan sepakan itu diambil penjaga gol Pahang A untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Dengan kemenangan itu, GPL Batu Pahat membawa pulang wang tunai RM 3,000, piala pusingan, piala iringan dan medal.

Selaku naib juara, Pahang A membawa pulang wang tunai RM 1,500 dan medal. SK Sri Mersing yang menduduki tempat ketiga membawa pulang wang tunai RM 1,000 serta medal selepas menumpaskan Pahang B dalam perlawanan penentuan tempat ketiga.

Dalam perlawanan peringkat separuh akhir, Pahang A membelasah SK Sri Mersing 4-0 manakala GPL Batu Pahat menumpaskan Pahang B dengan jaringan 4-2.

Jurulatih GPL Batu Pahat Helmi Mohamed berkata, beliau tidak menyangka pasukannya mampu muncul juara dalam kejohanan kali ini kerana pada peringkat kumpulan anak buahnya kalah di tangan musuh sama.

Menurutnya, dua pemainnya iaitu Muhammad Zulhaika dinobatkan pemain terbaik manakala Muhammad Nasrullah pula muncul penjaring terbanyak kejohanan.

“Saya gembira kerana berjaya membawa pulang piala ini ke Batu Pahat apatah lagi kejohanan ini adalah yang pertama.

“Saya berjanji akan cuba mempertahankan kejuaraan ini di masa akan datang, dengan membimbing pasukan lebih baik supaya piala ini kekal di Batu Pahat,” katanya.

Sementara itu, Baharudin berkata, kejohanan berkenaan diadakan bertujuan mencari bakat dalam kalangan murid sekolah rendah untuk menjadi pelapis pemain sedia ada.

Menurutnya, Penyelaras GPL Johor, Lahad Dadok Sulit sudah mengenal pasti beberapa pemain yang boleh diketengahkan untuk ke peringkat lebih tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2015 @ 7:41 AM